MIRI, 18 Dis - Masih terlalu awal mentafsirkan pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke arah tahaluf siyasi atau kerjasama politik antara UMNO dan PAS.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagaimanapun berkata pertemuan itu sesuatu dialu-alukan sebagai langkah pertama bagi menyatukan umat Islam di negara ini, dalam membina imej agama Islam yang baik.
"Jangan tafsirkan dengan pelbagai tafsiran mengenai pertemuan berkenaan. Soal mengadakan tahaluf siyasi itu terlalu awal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Pecah Tanah Masjid Kampung Keluru Jaya, di Lambir Jumaat.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata pertemuan antara Najib dan Abdul Hadi pada Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 di Kuala Lumpur semalam, adalah langkah yang baik.
"Kita sokong langkah Perdana Menteri menghulurkan tangan kepada sesiapa sahaja yang mahu berbaik-baik dan menegakkan Islam dengan tidak mengenepikan agama lain.
"Kita hendaklah memberi gambaran baik mengenai Islam dan harus terjemah makna Islam sebenar agar yang bukan Islam faham dan hormati kita," katanya.
Perdana menteri yang juga presiden UMNO dan Abdul Hadi saling menyapa serta bersalam-salaman lalu kemudiannya menyertai alumni tersohor lain di atas pentas selepas Najib merasmikan multaqa berkenaan.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata kerajaan tidak mahu agama Islam dikaitkan dengan kegiatan pengganas.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor