Pontian - Sesuatu yang tidak diduga namun peniaga vape berharap supaya pertimbangan dapat diberikan berhubung isu vape selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah mengharamkan penjualan vape di negeri ini berkuat kuasa 1 Januari depan.
Pemilik kedai Pontian Vape Houz, Mohd Amirul Mohd Nasir, 25, berkata, dia seakan tidak percaya pada mulanya mengenai pengharaman vape itu yang diterima melalui telefon bimbitnya, pagi kelmarin.
Bagaimanapun, selepas beberapa kali titah pengharaman vape dimuat naik di media sosial dia mula percaya dan tidak menyangka Sultan Johor bertitah sedemikian.
Katanya, sebagai peniaga yang baru mengusahakan perniagaan vape kira-kira lima bulan lalu dengan anggaran modal sebanyak RM150,000, sudah tentu soal kerugian bermain difikirkannya sebaik sahaja menerima berita pengharaman vape itu.
“Sebaik sahaja pengharaman vape diuar-uarkan di media sosial dan elektronik kelmarin, pengusaha-pengusaha vape dari seluruh negeri di bawah Persatuan Vape Johor telah mengadakan pertemuan di Johor Bahru pada sebelah malamnya.
“Dianggarkan kira-kira 250 pengusaha vape dari seluruh negeri hadir pada pertemuan itu bagi berbincang untuk membuat permohonan rayuan kepada Sultan Johor,” katanya.
Tambah Mohd Amirul lagi, dia amat berharap agar ruang perbincangan dilakukan berhubung isu vape ini memandangkan kajian secara terperinci mengenai kesan vape masih belum dibentangkan di peringkat kementerian.
“Tempoh yang diberikan selama sebulan sebelum pengharaman vape dikuatkuasakan juga membuatkan peniaga bingung.
“Sukar untuk menghabiskan stok dalam tempoh sebulan,” katanya.
Jelasnya, dia perlu menjelaskan sewa bangunan sebanyak RM1,500 sebulan memandangkan kontrak bagi sewa kedai telah ditandatangani selama dua tahun.
“Kami harap ada jalan penyelesaian bagi isu vape, kerana peniaga terpaksa menanggung kesan selepas pelaburan ratusan ribu dikeluarkan bagi memulakan perniagaan vape ini dahulu.
“Sekiranya perlu akta mahupun bayaran cukai vape, kami sanggup. Tetapi kami harap suara peniaga vape sekurang-kurangnya didengar dulu pihak berkenaan kerana kami sudah mematuhi undang-undang yang ditetapkan termasuk tidak menjual vape kepada pelajar sekolah,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor