
Alor Setar - Kerajaan negeri mahu pemaju sebuah syarikat perumahan di Langkawi memperbetulkan semula struktur binaan pada bahagian bumbung rumah yang kelihatan seperti simbol salib supaya ia tidak menjadi isu yang berlarutan.
Exco Perumahan, Datuk Tajul Urus Mat Zain memandang serius perkara itu dan berharap pihak berkenaan dapat memberi kerjasama sewajarnya.
“Saya minta pemaju syarikat perumahan berkenaan lihat semula masalah ini supaya tidak nampak lagi bentuk seolah-olah salib pada bahagian bumbung rumah.
“Saya tidak mahu ia dipanjangkan kerana ia isu sensitif melibatkan keagamaan. Pemaju perumahan harus pastikan ia dapat diperbetulkan semula,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Menurutnya, kerajaan negeri akan memantau masalah itu dari semasa ke semasa.
Sebelum ini, seorang pengguna laman sosial Facebook memuatnaik gambar rumah teres dua tingkat di Langkawi yang kelihatan seakan-akan simbol salib pada bahagian bumbung.
Berdasarkan pandangan kasar, simbol salib itu terbentuk pada dinding pembahagian antara rumah dengan lubang pengudaraan di tingkat atas.
Viral sejak 22 Disember itu turut mendapat kecaman ramai selain dikongsi lebih 2,322 pengguna Facebook lain.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor