Kira-kira 35,000 daripada 140,000 individu yang menyertai Program Pengurusan Kredit (PPK) Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit Malaysia (AKPK) dikesan mensia-siakan peluang kedua apabila gagal membayar kadar hutang ditetapkan.
Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir berkata, keadaan itu berlaku disebabkan beberapa faktor termasuk penyertaan segelintir individu dalam PKK yang hanya menyertainya disebabkan mahu lari dari tuntutan bank.
Menurutnya, persediaan mental dan komitmen mereka tidak kuat dan berjumpa dengan AKPK hanya mahu lari daripada gangguan bank semata-mata.
“Mungkin juga ada yang sudah sertai program penstrukturan tetapi berlaku sesuatu kepada mereka seperti dibuang kerja.
“Bagaimanapun, sebagai agensi yang bertanggungjawab terhadap pendidikan kewangan, kita bantu golongan ini sebaik mungkin supaya tidak terdedah kepada risiko diisytiharkan muflis,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis amal AKPK di Rumah Anak Yatim dan Fakir Miskin Permata Al Inysirah, di sini, semalam.
Azaddin berkata, bagaimanapun 75 peratus yang menyertai PPK didapati membayar secara tetap kadar bayaran hutang dan menggunakan sebaik mungkin peluang kedua diberikan kepada mereka.
Katanya, golongan tersebut membayar kadar ditetapkan selepas penstrukturan hutang dibuat semula dan ia sedikit sebanyak melegakan mereka daripada pelbagai masalah.
“Berdasarkan statistik, 80 peratus daripada individu menyertai PPK adalah golongan berpendapatan RM4,000 ke bawah yang terdedah kepada risiko tidak mampu membayar hutang pinjaman masing-masing.
“Golongan ini antara yang berisiko jika tidak mampu membuat perancangan kewangan yang baik.
“Kalau tidak diatasi segera ia mungkin boleh menyebabkan masalah sosial lain seperti jenayah mencuri dan pecah amanah di syarikat, sebab itu ia penting untuk mereka membayar pinjaman selepas penstrukturan bayaran dibuat menerusi PPK,” katanya.
Azaddin berkata, AKPK akan terus menjalankan program didikan di pelbagai peringkat seperti agensi kerajaan, swasta dan institut pengajian tinggi (IPT) bagi mendidik masyarakat mengenai disiplin pengurusan kewangan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor