Pages

Wednesday, November 11, 2015

[TIOMAN] KAJI PINDAH LAPANGAN TERBANG


Kaji pindah Lapangan Terbang Tioman


Kerajaan Negeri Pahang sedang meneliti sama ada pelan memanjangkan Lapangan Terbang Tioman sebanyak 300 meter akan diteruskan atau dipindahkan ke lokasi darat.

Adun Tioman, Datuk Johari Hussain berkata, pihak kerajaan negeri kini sedang meneliti tiga inisiatif sama ada; memanjangkan landasan sedia ada, membina landasan baru di laut atau meneroka kawasan baharu di Rompin (darat).

“Ukuran landasan lapangan terbang sedia ada pendek dan berbahaya. Dalam meneliti pelan untuk memanjangkan landasan tersebut, kerajaan juga sedang membuat kajian untuk meneroka kawasan baharu.

“Kawasan lama adalah di kawasan laut. Terdapat bantahan dari segi teknikal dan sebagainya termasuk penduduk dan pengusaha. Ini kerana lapangan laut ini boleh mengganggu industri pelancongan dan domestik.

"Terutama ketika proses membenamkan tiang-tiang pembinaan yang akan menyebabkan kerosakan dasar laut dan terumbu karang,” katanya pada sidang media majlis Pelancaran Kejohanan Futsal Piala Tengku Mahkota Pahang di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, lapangan terbang Tioman ini ekstrem kerana landasannya pendek dan pesawat perlu membuat lencongan terlebih dahulu sebelum pendaratan.

“Sebab itu kita tidak terburu-buru untuk melihat dan membina lapangan terbang yang baharu demi memastikan hasil yang terbaik kepada pembangunan setempat,” katanya.

Dalam pada itu, Johari berkata, tiada rungutan dari pengusaha pesawat mengenai pembinaan dan proses membaikpulih lapangan tersebut kerana umum tahu kerajaan tidak mahu memanjangkan risiko terhadap landasan ekstrem tersebut.

Menurutnya, proses perlaksanaan dan kajian mengambil jangka masa panjang agar tidak mengorbankan nilai-nilai estetika sedia ada.

Lapangan Tioman mempunyai landasan berukuran 992 meter dan untuk melakukan pendaratan juruterbang perlu menetapkan visi yang tepat berhampiran pergunungan supaya waktu pendaratan tidak tersasar.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor