Pages

Wednesday, November 11, 2015

TERANG SAMPAI RAKYAT FAHAM 1MDB, TPP, BAJET 2016


1MDB, TPP Bajet 2016


Shah Alam - Penganalisis politik menyarankan pihak-pihak yang bakal memberi penerangan kepada ketua-ketua Umno bahagian berhubung tiga isu utama negara termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Sabtu ini menggunakan kesempatan itu sewajarnya.

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Samsu Adabi Mamat berkata, langkah yang diambil Umno itu penting bagi memastikan ahli-ahlinya memahami permasalahan sebenar sekaligus meningkatkan tahap keyakinan mereka sebelum kembali merebut keyakinan rakyat.

“Apa yang penting struktur itu diutamakan dahulu iaitu ketua-ketua bahagian diberi penerangan lebih awal. Mereka pula akan memberi penerangan kepada ketua-ketua cawangan. Jadi, ini satu proses yang baik.

“Langkah ini memang penting. Pertama penerangan ke dalam (parti) iaitu penerangan kepada ahli-ahli Umno dahulu supaya mereka faham dulu. Dalam masa sama, ahli Umno ini dapat memberi penerangan kepada rakyat.

“Kemudian barulah penerangan ke luar (rakyat). Ia bertujuan untuk memperkasakan ahli kerana ahli juga perlu keyakinan bukan setakat rakyat. Jadi, keyakinan ahli terlebih dahulu, selepas itu, baru raih keyakinan rakyat,” katanya kepada Sinar Online.

Majlis Penerangan Perdana anjuran Biro Penerangan Umno bakal berlangsung Sabtu ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur dengan mensasarkan kehadiran 191 ketua-ketua bahagian Umno dan 1,000 anggota NGO di seluruh negara.

Selain 1MDB yang bakal dijelaskan Presiden dan Pengarah Eksekutifnya, Arul Kanda, dua isu lain yang akan disentuh adalah perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TTPA) dan Bajet 2016 di mana masing-masing akan disampaikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Sementara Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, sesi penerangan itu tidak sepatutnya tidak terhenti di sini sahaja sebaiknya ia dilanjutkan kepada peringkat-peringkat bawah yang seterusnya.

“Tapi yang penting saya rasa, selepas penerangan kepada ketua bahagian ini, jangan terhenti di situ sahaja. Pihak yang memegang jawatan di peringkat cawangan dan bahagian juga perlu diberi penerangan supaya jelas dan mereka akan jadi agen untuk menyampaikan maklumat yang diterima kepada masyarakat bawah.

“Kalau tidak, memang tak sampai. Jika orang tak faham, ia mula menimbulkan tanda-tanda menentang kerajaan Jika mereka terikut dengan idea yang dibawa pembangkang, mungkin mereka rasa ada berlaku sesuatu yang tidak baik dalam ekonomi negara dan sebagainya. Jadi, penjelasan itu perlu diteruskan dan saya fikir ia baik supaya maklumat sampai ke akar umbi,” katanya.

Menurutnya lagi, penerangan itu penting juga dalam ‘menangkap’ golongan atas pagar.

“Penerangan itu perlu kepada ahli Umno...penyokong kerajaan kerana jika mereka faham, mereka boleh memberi penerangan kepada golongan bawah. Golongan atas pagar ini akan lebih percaya kepada penerangan-penerangan yang diberikan itu.

“Tapi kalau penyokong pembangkang yang tegar ini memang tidak boleh buat apa. Macam mana pun, dia tetap akan menyokong pembangkang. Tapi yang penting sekarang ini, ahli Umno perlu yakinkan pengundi atas pagar yang tidak memihak mana-mana ini,” katanya.

Majlis penerangan yang bakal bermula 8.45 pagi itu turut dibuka kepada pihak pembangkang.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor