Kota Kinabalu - Kementerian Kerja Raya akan menghantar pasukan pakar forensik Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi meninjau keadaan kawasan tanah runtuh di Km52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, hari ini.
Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pada masa ini, JKR sudah berada di lapangan bagi melakukan kerja-kerja pembersihan yang dijangka siap pagi ini.
"Apa yang penting (sekarang), walaupun pembersihan sudah dibuat, kita nak pastikan laluan itu selamat untuk dilalui. Pada masa ini, pengguna sama ada yang tersadai atau ingin melalui jalan itu, hubungi Bilik Gerakan JKR untuk mendapatkan maklumat tepat.
"Jangan bersandarkan kepada media sosial melainkan saluran sahih termasuk rangkaian berita nasional," katanya pada sidang media, di sini malam tadi.
Fadillah juga menasihatkan pengguna agar menangguhkan perjalanan atau menggunakan jalan alternatif kerana pihaknya tidak akan membuka jalan berkenaan berikutan laporan awal mendapati pergerakan tanah masih berlaku.
"Kita hanya membuka jalan berkenaan setelah disahkan bahawa cerun tanah itu sudah berada dalam keadaan stabil untuk memastikan keselamatan orang ramai," katanya.
Sebahagian laluan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak ditutup kepada pengguna ekoran kejadian tanah runtuh di Km52.4 berhampiran Lentang-Bukit Tinggi pada 7.18 malam tadi.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor