Pages

Tuesday, November 10, 2015

POLIS CEDERA DIREMPUH PENUNGGANG MOTOSIKAL


PDRM


Kuala Lumpur - Seorang anggota polis berpangkat korporal cedera di tangan dan bahu kiri selepas dirempuh penunggang motosikal dalam operasi bersepadu di Jalan Bangsar menghala ke pusat bandar malam tadi.

Johan Mohd Mesbah kini dirawat di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia dan berada dalam keadaan stabil, kata Ketua Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, penunggang lelaki tempatan berusia 20an itu telah ditahan dan siasatan mendapati suspek berada di bawah pengaruh alkohol.

"Selepas keterangan diambil, beliau dibebaskan dengan jaminan polis dan dijangka dituduh di Mahkamah Majistret, Jalan Duta esok," katanya.

Mengulas mengenai operasi sekatan jalan raya bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik bermula jam 9.30 malam dan berakhir tengah malam semalam, beliau berkata sebanyak 188 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Katanya ini termasuk 18 saman atas kesalahan lesen tamat tempoh, 27 (tiada lesen), 28 (tidak menampal pelekat 'P'), 15 (tidak menampal pelekat 'L') dan 32 (nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi).

Selain itu, Mohd Nadzri berkata sebanyak 18 motosikal disita dan 23 waran dikeluarkan.

"Lima penunggang motosikal turut dikesan berada di bawah pengaruh alkohol," katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor