Pages

Saturday, November 7, 2015

[MARAN] LISUS PERKUAT MAUFAKAT ANTARA KAUM

Lisus perkukuh muafakat antara kaum



Penyertaan golongan muda Melayu, Cina dan India dalam Liga Sukan Untuk Semua (Lisus) di peringkat daerah memberi impak positif terhadap usaha memperkukuhkan perpaduan melalui sukan.

Adun Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, penganjuran program itu antara perancangan kerajaan bagi memupuk budaya bersukan dengan melibatkan semua kaum.

Menurutnya, tiada istilah sesuatu kaum mendominasi mana-mana acara sukan kerana ia bergantung kepada individu tersebut tanpa mengira bangsa.

“Ia membuktikan sukan membentuk kesatuan kepada mereka yang mempunyai minat sama sekali gus tidak wujud isu perkauman dalam sukan.

“Kerana itu, sukan adalah platform terbaik memperkukuh semangat patriotisme dan perpaduan bermula dari usia kecil hingga akhir hayat.

“Penyertaan pemain pelbagai kaum dalam sesuatu acara sukan pasti membuatkan suasana lebih meriah dan penyokong bersatu hati memberi sokongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pertandingan futsal Lisus Parlimen Maran, di sini.

Hadir sama, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Maran, Sophian Tukiman.

Lisus Parlimen Maran melabuh tirai acara takraw yang dimenangi pasukan KSIJ D sementara Jengka 8 menjuarai bola tampar lelaki manakala wanita milik SMK Jengka 12.

Bagi acara bola jaring, pasukan Parlimen muncul johan dan futsal lelaki dimenangi pasukan Hj Harun FC serta wanita, Cili Padi.

Shahaniza berkata, sukan adalah platform terbaik memangkin semangat patriotisme dan melentur semangat kekitaan tanpa mengira latar belakang, agama serta keturunan.

Menurutnya, keberkesanan menyemai rasa cinta kepada negara turut tercatat jelas dalam perjalanan Malaysia membentuk perpaduan kaum sebelum merdeka.

“Tidak merdeka kalau rakyat tidak bersatu padu. Semangat perpaduan rakyat ketika itu disemai melalui sukan. Jangan lupa, ketika Tanah Melayu menang Piala Thomas pada tahun 1949, ketika itu masa darurat. 

“Apabila kita juara, semuanya gembira dan bangga. Sama seperti sukan bola sepak yang mana semua rakyat Malaysia memberi sokongan kepada pasukan negara dengan menonton perlawanan bersama-sama,” katanya.




No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor