Pages

Monday, November 9, 2015

KARANGKRAF DISERBU PENGUNJUNG


Karangkraf diserbu pengunjung


Shah Alam – Jualan Gudang Karangkraf yang berlangsung sejak 30 Oktober lalu, mendapat sambutan meriah daripada pengunjung serta masyarakat sekitar bersempena hari terakhir penganjurannya, semalam.

Bukan itu sahaja, penganjuran jualan gudang kali ini turut menjadi destinasi tumpuan pelbagai lapisan masyarakat khususnya ibu bapa bagi mendapatkan bahan bacaan buat anak-anak mereka menjelang cuti persekolahan tidak lama lagi.

Pengunjung juga dilihat tidak melepaskan peluang dan mula memenuhi ruang parkir di perkarangan Kompleks Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf) sejak ia dibuka kepada orang awam seawal jam 9 pagi.

Menurut seorang kakitangan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Zaihasra Ainuddin, 36, dia bertolak awal dari Bangi untuk melihat secara lebih dekat tawaran-tawaran yang disediakan pada hari terakhir itu.

“Sudah semestinya promosi yang disediakan pada hari terakhir ini lebih rancak dan disebabkan itu saya bersama suami dan anak-anak mengambil kesempatan cuti hujung minggu ini untuk bersama-sama datang melihat bahan bacaan ditawarkan disini,” katanya.

Menurut Zaihasra, diskaun dan tawaran harga yang diberikan ternyata amat berbaloi dan membuka ruang buat ibu bapa bagi mendapatkan bahan bacaan buat anak-anak mereka menjelang cuti persekolahan ini.

Selain mencari bahan untuk anak-anaknya, Zaihasra turut memaklumkan bahawa dia mengunjungi jualan gudang tersebut bagi membeli novel untuk dijadikan koleksi peribadinya sendiri.

“Saya memang peminat tegar novel dan kesempatan ini memang digunakan sebaiknya untuk menambah koleksi sedia ada,” katanya.

Dalam pada itu, Jualan Gudang Karangkraf pada kali ini menawarkan harga pembelian serendah RM1 dan diskaun sehingga 90 peratus bagi setiap buku, novel serta majalah terbitan Karangkraf.

Penjawat awam, Abdul Hakim Khairuddin, 30, berkata dia sememangnya berasa teruja dengan tawaran promosi yang disediakan oleh Karangkraf di samping kepelbagaian bahan bacaan yang dijual kepada pengunjung.

“Ini merupakan kali ketiga saya mengunjungi Jualan Gudang Karangkraf sejak ia mula dianjurkan sebelum ini.

"Ternyata terdapat banyak penambahbaikan telah dicapai dengan penyediaan bahan yang semakin bertambah,” katanya.

Selain itu, Hakim turut memaklumkan bahawa keadaan susun atur parkir bagi pengunjung juga amat memuaskan dan memudahkan orang awam untuk bergerak di samping penyediaan buggy untuk ke tapak jualan.

Hakim berkata, penyelia dan kakitangan di tapak jualan juga banyak membantu dalam menyampaikan maklumat mengenai sebarang prmosi yang ditawarkan pada jualan gudang kali ini.

“So far, saya amat berpuas hati dengan penambahbaikan yang dibuat oleh Karangkraf dan jualan seperti ini wajar diteruskan lagi bagi membudayakan minat membaca di kalangan masyarakat," katanya.

Guru tak lepas peluang

Selain golongan ibu bapa, para guru juga tidak terkecuali untuk bersama-sama memborong bahan bacaan yang dikehendaki pada hari terakhir penganjuran jualan gudang berkenaan.

Menurut seorang guru Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Puchong, Rakiah Mohd Yunus, dia menggunakan kesempatan saat akhir itu untuk datang semula bagi menambahkan lagi bahan bacaan bersempena dengan sambutan Hari Anugerah Kecemerlangan sekolah tidak lama lagi.

“Saya telah datang pada hari Selasa lalu bersama rakan dan memandangkan masih ada bajet lebih untuk beli bahan bersempena hari kecemerlangan nanti, kami datang semula hari ini (semalam) untuk menambah bahan sedia ada,” katanya.

Rakiah berkata, penyediaan bahan yang dijual adalah amat bersesuaian dengan pelbagai lapisan umur masyarakat dan kebanyakkan buku yang dipasarkan disini juga adalah sangat berkualiti dan memuaskan.

Ujar Rakiah, pihaknya turut berpendapat inisiatif jualan gudang ini wajar dilaksanakan di di beberapa negeri lain bagi memudahkan penduduk luar ibu kota mendapatkan bahan bacaan mereka selepas ini.

“Jualan gudang ini amat baik dan ianya wajar diteruskan di seluruh negeri dan dapat memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor