Pages

Monday, November 9, 2015

'JALANAN INI UNIVERSITI BUATKU'


'Jalanan ini universiti buatku'


"Sepuluh tahun abang mengembara ke negara orang banyak kisahnya," demikian luahan bekas vokalis kumpulan Bloodshed, Rosdan Baharom kepada Sinar Online selepas lama menghilangkan diri daripada dunia seni.

Katanya, selama 10 tahun itu dia menetap di Copenhagen, Denmark iaitu dari tahun 1991 sehingga 2000 dan sepanjang dia berkelana di negara itu banyak kisah duka dan gembira yang diperolehinya.

"Abang pernah bekerja sebagai tukang cuci dan juga pernah menjadi guru Bahasa Inggeris di sekolah menengah di sana, selain pernah menjadi cef di Hard Rock Kafe Copenhagen," katanya.

Selain itu, Rosdan berkata dia juga pernah menjadi pelukis jalanan.

"Menjadi pelukis jalanan ini banyak mengajar abang, kalau dibandingkan dengan Malaysia, negara Eropah lebih menghargai orang seni, mungkin budaya berbeza.

"Abang rasa melukis dijalanan ini seolah-olah menjadi universiti jalanan bagi abang, banyak benda yang diperolehi, melalui pemerhatian kita, melalui komunikasi bersama orang ramai ia banyak mengajar abang.

"Belajar tidak semestinya masuk universiti, di jalan pun kita boleh belajar," katanya.


TUJUAN KE LUAR NEGARA

Rosdan berkata kekecewaanya kepada muzik serta keadaan sekeliling yang menyebabkan dia 'lari' ke Denmark.

Namun katanya, pada tahun 2001 dia balik ke Malaysia, namun bukan untuk menjadi artis seperti dahulu sebaliknya ingin menjadi pelukis.

"Rindu ada (menyanyi semula), cuma abang fikir ia penting atau tidak dalam hidup, ada peminat tanya abang: 'Dan, nyanyilah balik, tak nak keluar TV ke?'

"Kadang kala kita rasa populariti itu apa sebenarnya, hanya sementara jadi bagi abang kalau hendak popular biarlah abang popular dengan seni lukis abang, biar dapat tembus pasaran luar negara," katanya.

Oleh itu, ujarnya dia kini selesa untuk menjadi pelukis sepenuh masa.

"Biar abang hidup sederhana begini, abang tidak kisah pandangan orang," katanya yang menjadikan Jalan Masjid India sebagai lokasi untuk dia 'meluahkan' hasil seninya.

Untuk itu, kepada peminat kumpulan ini bolehlah bertemu Rosdan hampir setiap hari di Masjid India.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor