Bangi - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memainkan peranan penting dalam mencegah kegiatan ekstremis dan ajaran songsang selain mempertahan Islam sebagai agama rasmi negara ini, kata bekas Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Muhammad Abd Aziz.
Beliau berkata sejak penubuhannya di bawah Jabatan Perdana Menteri pada 1997 dan mengambil alih kuasa dan tugas Bahagian Hal Ehwal Islam (Baheis), Jakim berperanan sebagai agensi pusat dalam perancangan pengurusan hal ehwal Islam, pembangunan ummah serta perkara lain berkaitan Islam.
"Sebagai contoh, gerakan faham songsang, ekstremis dan lain-lain yang menyentuh agama Islam memerlukan tindakan pencegahan yang cekap dan efektif.
"Jakim dan agensinya mempunyai barisan kakitangan yang mempunyai kepakaran menangani isu-isu membabitkan Islam bagi memastikan tidak
wujudnya gerakan atau kumpulan yang mahu menggunakan agama sehingga mendatangkan kemudaratan kepada negara," katanya kepada pemberita selepas majlis Mahabbah Alumni Jakim 2015 di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha dan Yang Dipertua Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU), Palmuzi Yahya.
Wan Muhammad berkata, antara fungsi utama Jakim ialah membantu menggubal dan menyeragam undang-undang dan peraturan yang diperlukan serta menyelesaikan masalah-masalah umat Islam.
Sementara itu, Othman berkata penubuhan Mahabbah Alumni Jakim adalah untuk mengumpul semua bekas pegawai dan kakitangan Jakim termasuk mereka yang pernah berkhidmat dengan Baheis.
"Pengalaman dan kepakaran yang dimiliki anggota alumni Jakim ini dapat dimanfaatkan semula untuk membantu Jakim menyelesaikan isu-isu semasa membabitkan Islam," katanya.
Selain itu, katanya anggota alumni Jakim boleh membantu menjelaskan kepada masyarakat mengenai fungsi dan peranan yang dilaksanakan oleh jabatan itu.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor