Pages

Sunday, November 1, 2015

GURU JADI MANGSA UGUTAN SMS


Rembau – Rasa ingin tahu seorang guru terhadap pengirim mesej berbaur lucah membawa padah apabila dia diugut untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah oleh seorang individu yang mendakwa dirinya sebagai 'pegawai kanan polis' yang bertugas di Pahang.

Sinar Harian difahamkan, guru lelaki berusia 33 tahun itu menerima mesej melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dari seorang individu yang menamakan dirinya sebagai ‘Fara’ pada waktu tengah hari, 28 Oktober lalu ketika dia sedang menjalani kursus di daerah ini.

Menurut sumber, guru berkenaan cuba menghubungi nombor tersebut untuk mengetahui siapa sebenarnya pengirim mesej terbabit, kira-kira jama 5.30 petang.

"Namun panggilan itu tak dijawab. Tetapi tidak lama selepas itu, guru berkenaan menerima SMS daripada 'Fara' yang memohon maaf kerana tersalah hantar mesej.

"Guru berkenaan bagaimanapun masih ingin mengetahui identiti sebenar pengirim mesej berkenaan dan masing-masing semakin galak menghantar SMS antara satu sama lain,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Tambah sumber lagi, guru terbabit terkejut setelah menerima satu lagi SMS dari nombor sama yang mengaku dia adalah ayah kepada 'Fara' dan bertugas sebagai pegawai kanan polis.

"Dalam SMS itu juga, lelaki itu memberitahu isteri dan anaknya telah mengadu serta membuat laporan berhubung SMS guru berkenaan. Malah, dia turut memberitahu telah menjalankan siasatan ke atas nombor telefon guru terbabit dan menyatakan dengan lengkap nombor kad pengenalan serta alamat kediaman guru berkenaan.

"Pegawai kanan polis itu juga mendakwa telah membuat tuduhan ke atas guru terbabit kerana melakukan gangguan seksual," katanya.

Menurutnya, lelaki yang mendakwa dirinya bapa ‘Fara’ itu juga telah meminta seorang anggota polis berpangkat Koperal untuk merakam perbualan mereka dan meminta bayaran sebanyak RM10,000 jika mahu kes berkenaan diselesaikan di luar mahkamah.

"Takut dengan ugutan itu, mangsa telah melakukan transaksi melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Pekan Rembau sebanyak RM5,000 ke nombor akaun yang diberikan oleh ‘pegawai polis kanan’ berkenaan di atas nama pemilik akaun lain.

"Mangsa juga dipaksa untuk menjelaskan baki bayaran sebanyak RM5,000 lagi. Bagaimanapun, selepas insiden itu, guru itu berasa tertipu dan berasa bimbang dengan ugutan yang dibuat oleh ‘pegawai kanan polis’ berkenaan," katanya.

Sumber berkata, guru berkenaan akhirnya nekad untuk membuat laporan polis keesokan harinya (kelmarin).

Tambah sumber, kes yang dialami guru malang berkenaan bukanlah kes pertama memandangkan terdapat dua lagi laporan polis yang dibuat sebelum ini menggunakan modus operandi serupa antaranya di Dungun, Terengganu.

Sementara itu, Ketua Polis Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan menyatakan kes berkenaan masih lagi dalam siasatan.

“Buat masa ini, kita telah membuka Kertas Enkuiri Polis bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor