Pages

Sunday, November 15, 2015

'BANGKIT BERSAMA' HALA TUJU TEMASYA SUKAN SEA 2017


Khairy Jamaluddin


Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur bakal menonjolkan nilai sebenar dan kekuatan sukan seiringi dengan cabaran negara Asia Tenggara mewujudkan satu komuniti.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata atas dasar itu tema 'Bangkit Bersama' dipilih Jawatankuasa Pengelola Sukan Sea Malaysia (MASOC 2017), bersesuaian dengan cabaran terkini dan akan datang yang ditempuhi negara rantau ini.

"Rantau Asia Tenggara telah melangkah jauh untuk meletakkan dirinya unggul di peringkat antarabangsa dan sudah tiba masanya kita berganding bahu membuka lembaran baharu dalam perjalanan berlandaskan keamanan, kemajuan dan kemakmuran.

"Inilah kekuatan dan nilai sebenar sukan yang akan kita terapkan pada Sukan Sea Ke-29 Kuala Lumpur 2017 nanti," katanya pada majlis pelancaran Logo, Maskot dan Tema Sukan Sea ke-29 di Esplanade KLCC, di sini malam tadi.

Pada masa sama, Khairy percaya Malaysia bukan sahaja boleh menjadi tuan rumah yang baik, malah kontinjen negara juga mampu berjaya pada temasya 2017.‎

"Pada masa sama, kita boleh meraikan sambutan ke-60 Kemerdekaan Malaysia dengan muncul sebagai juara keseluruhan," katanya.

Pada majlis sama, Khairy turut melancarkan pendaftaran sukarelawan Sukan Sea ke-29.

Malaysia akan menjadi tuan rumah temasya sukan terbesar rantau Asia Tenggara, Sukan SEA buat kali keenam pada 2017 selepas menganjurkannya pada 1965, 1971, 1977, 1989 dan 2001.

Temasya Sukan Sea adalah temasya sukan dwitahunan yang melibatkan 11 negara Asia Tenggara iaitu Brunei, Filipina, Indonesia, Myanmar, Singapura, Kemboja, Laos, Thailand, Vietnam, Timor Leste dan Malaysia.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor