Seremban – Hanya dalam tempoh tidak sampai seminit, sebuah kedai emas mengalami kerugian RM50,000 dalam satu kejadian samun di Jalan Tuanku Hassan dekat sini, semalam.
Salah seorang pekerja kedai yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku lebih kurang jam 12.45 tengah hari, ketika itu tiada pelanggan di kedainya.
Namun, tidak lama kemudian datang seorang seorang wanita, diikuti pula seorang lelaki yang meluru ke dalam kedai tersebut dengan membawa senjata tajam.
“Sebaik sahaja mereka masuk ke dalam kedai, dia terus memecahkan cermin pameran dengan menggunakan beberapa senjata tajam, termasuk tukul besi.
“Setelah cermin itu pecah, datang seorang lagi rakan suspek mengambil beberapa lagi utas barang emas, sebelum bertindak melarikan diri dengan menaiki motosikal,” katanya.
Katanya, ini merupakan kejadian pertama berlaku di kedai tersebut, yang telah beroperasi lebih 12 tahun.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Seremban, Superintendan Abdul Rahim Daud berkata, daripada hasil siasatan awal pihaknya mendapati terdapat dua suspek yang memakai jaket gelap, sarung tangan dan topi keledar bertutup penuh telah melakukan kegiatan samun di kedai terbabit.
Tambahnya, kedua-dua suspek telah melarikan diri dengan menaiki motosikal jenis EX5 warna hitam dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Katanya, kedai tersebut tidak mempunyai pengawal keselamatan dan hanya bergantung kepada kamera litar tertutup.
“Mujur kamera litar tertutup di kedai itu berfungsi, ia akan membantu pihaknya menjalankan siasatan dengan lebih teliti.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata dan berkumpulan," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta tampil untuk membantu siasatan kes.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor