Pages

Wednesday, October 28, 2015

KES BAKAR PATUNG, PIJAK GAMBAR DALAM SIASATAN


Polis: Kes pijak gambar Najib, Hadi disiasat


Kuala Lumpur - Polis telah menyerahkan kertas siasatan individu yang memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, September lalu kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Ia termasuk kes membakar patung menyerupai Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang pada bulan sama.

Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan bertulis berkata, kertas siasatan tersebut telah diserahkan secara berasingan pada 17 September dan 13 Oktober lalu.

"Polis telah menjalankan siasatan berkaitan Report 635/15, kertas siasatan 2002/15 di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan atas perlakuan memijak gambar Ahli Parlimen Pekan (Najib) dan Ahli Parlimen Marang, (Abdul Hadi). Kertas siasatan telah dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya pada 17 September untuk arahan selanjutnya.

"Bagi perlakuan membakar patung Ahli Parlimen Gelang Patah (Guan Eng) dan Ahli Parlimen Bagan (Kit Siang), polis telah menjalankan siasatan berkait Kota Bharu Report 18755/15, kertas siasatan 1881/15 di bawah seksyen 505(b) Kanun Keseksaan. Kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada 13 Oktober untuk arahan lanjut," katanya seperti yang dipetik menerusi kenyataan terbabit.

Pada 15 September lalu, DAP menggesa polis segera bertindak terhadap pihak yang membakar patung menyerupai dua pemimpin utama parti itu.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Seremban oleh Ketua Pemuda DAP, Teo Kok Seong.

Sehari sebelum itu, tersebar sebuah video berdurasi empat minit yang mana turut disertai Ketua Umno Kota Bharu, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh membakar patung menyerupai Guan Eng dan Kit Siang yang memakai baju Bersih 4.0.

Video itu didakwa sebagai pra Himpunan Baju Merah yang bakal diadakan pada 16 September lalu.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor