Kelibat bot tunda penceroboh yang masih kelihatan masuk ke kawasan perairan di sini perlu diberi perhatian.
Wakil nelayan, Zaliki Zahari, 41, berkata, pihak berkenaan seharusnya memberi perhatian kepada nelayan di sini yang resah memikirkan punca pendapatan mereka yang terlalu kerap diancam.
Menurutnya, kehidupan nelayan di sini semakin terhimpit dengan masalah kehadiran ‘lanun’ yang menyekat punca rezeki dan lebih malang lagi merosakkan peralatan mereka mencari rezeki.
“Nelayan di sini rugi besar dan keadaan ini begitu mengganggu kami yang terpaksa menanggung keperluan diri dan keluarga terutama anak-anak yang masih bersekolah.
“Saya sebagai wakil rakan nelayan di sini meminta pihak berkenaan mengambil tindakan segera,” katanya.
Dia berkata, usaha mengatasi masalah ini akan dilakukan melalui program dialog antara nelayan di sini bersama pihak bertanggungjawab bagi mengelak ia berulang pada masa akan datang.
“Seluruh nelayan di sini amat berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas ke atas bot pukat tunda terbabit kerana kejadian ini telah maklum berlarutan sejak lebih 30 tahun lalu.
“Mereka ini bukan sahaja menceroboh kawasan perairan tempat penduduk mencari rezeki dengan menangkap ikan secara haram di pesisiran pantai, malah bertindak berani cuba mengancam keselamatan nelayan tempatan,” katanya.
Sementara itu, Zaliki turut mendedahkan terdapat juga bot nelayan tempatan yang dipercayai dari kawasan luar turut berani menghampiri kawasan pantai di sini.
Menurutnya, mereka bukan sahaja berani menceroboh malah melanggar pukat milik nelayan di sini dalam usaha mengaut keuntungan melalui hasil laut yang terdapat di kawasan ini.
“Kami (nelayan) telah buat laporan kepada wakil rakyat serta agensi yang terlibat bagi membantu menyelesaikan kemelut yang dihadapi di kawasan perairan di sini.
“Bot asing ini mengaut semua jenis tangkapan yang ada terutamanya kini musim bawal dan semakin menjadi ancaman kepada kami apabila mereka dilihat mampu bertindak melebihi batas dengan merosakkan peralatan milik kami,” katanya
Jelasnya, nelayan di sini sendiri terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga apabila setiap kali turun mencari rezeki di laut berikutan takut dilanggar oleh mereka yang bersikap biadab.
“Sebagai contoh, nelayan di sini mampu membawa naik hasil yang agak baik dalam masa sehari ke laut untuk dijual namun kini, setiap nelayan mengalami kerugian sehingga RM3,000 sehari akibat pencerobohan.
“Jika keadaan ini berterusan, kami tak dapat cari rezeki dan keselamatan turut terancam dengan kehadiran bot yang dilihat begitu ‘tegar’ serta bertindak sesuka hati,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor