Rakyat jelata mengagumi baginda sebagai raja yang penyayang.
Baginda tidak terlepas peluang mencemar duli turun padang, melawat dan memberi kata-kata semangat kepada rakyat yang berada dalam kesusahan.
Malah, jiwa penyayang baginda terbukti menerusi lirik lagu bertajuk ‘Simfoni Kasih’ yang dikarangnya, ciptaan Datuk Ahmad Nawab dan dinyanyikan penyanyi terkenal, Jamal Abdillah selepas kemangkatan Paduka Isteri tercinta, Tengku Ampuan Afzan pada 29 Jun 1988.
“Tinggallah daku dalam kesunyian, sepi, pedih pilu. Semakin jauh meneruskan perjalanan, terpisah kita tak tercapai tangan. Akan tetapi hati ku tetap sampai, bersama doa ku iringi dikau yang tersayang”.
Itu antara bait-bait yang menyentuh hati terkandung dalam lagu berkenaan.
Bagaimanapun, baginda kembali ceria selepas mengahwini Sultanah Pahang Sultanah Hajah Kalsom kira-kira tiga tahun selepas itu dan dianugerahi YAM Tengku Fahd.
Empat dekad pemerintahan Sultan Ahmad Shah menjadi satu sejarah kepada rakyat Pahang kerana mempunyai raja yang mengutamakan kepentingan dan keperluan rakyatnya.
Sesuai ungkapan raja dan rakyat berpisah tiada, baginda sentiasa memayungi rakyat jelata dengan perhatian sewajarnya terutama dalam isu pembangunan.
Sebagai raja, kasih sayang baginda melangkaui semua agama dan bangsa di negeri ini dan selama 40 tahun pemerintahan baginda, banyak perkara yang dilaksanakan memberi manfaat kepada rakyat.
Baginda sering mencemar duli melakukan lawatan ke daerah yang mengalami masalah atau bencana seperti tanah runtuh dan banjir untuk sama-sama selesaikannya.
Tuanku juga tidak ketinggalan memberi tumpuan terhadap institusi pendidikan dengan pembinaan beberapa pusat pengajian tinggi di Pahang.
Pusat pengajian berkenaan bukan sahaja mampu berdaya saing dengan institusi pengajian lain malah berjaya melahirkan ramai tenaga profesional dalam pelbagai bidang.
Antaranya Kolej Islam Sultan Haji Ahmad Shah (Kipsas), Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas), Universiti Tenaga Nasional Kampus Sultan Haji Ahmad Shah dan Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (Semsas).
Baginda juga berkenan dilantik sebagai Canselor Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Malaysia.
Perhatian baginda dalam pendidikan turut menjadi contoh kepada cendekiawan di negara ini . Sebuah universiti terkemuka swasta di negara ini menganugerahkan baginda Ijazah Doktor Kehormat dalam Falsafah pada 2012.
Anugerah berkenaan dipersembahkan kerana pengiktirafan mereka terhadap kepimpinan baginda yang dikenali sebagai ikon di peringkat antarabangsa dalam pelbagai bidang terutama pembangunan belia dan kemasyarakatan.
Anak raja pecinta sukan
Baginda umpama ‘bapa’ kepada pencinta bola sepak di negeri Pahang kerana menjadi idola pemain untuk mencetuskan fenomena hebat sukan itu.
Baginda juga boleh dianggap sebagai raja sukan dalam kalangan anak raja kerana berjaya membuktikan perubahan yang dibawa dalam sukan negara terutama bola sepak dan polo.
Sultan Ahmad Shah dilantik sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 12 Ogos 1984 sesuai dengan baginda yang aktif mengemudi pasukan negeri termasuk sebagai ketua pasukan pada tahun 1956.
Liga Malaysia adalah antara bukti cinta baginda dalam sukan bola sepak. Baginda menubuhkan Liga Semi Pro pada tahun 1989 dan menjadi lebih profesional empat tahun kemudian dan terus megah hingga kini.
Baginda terus aktif sehingga terbina bangunan AFC yang dikenali sebagai AFC House di Bukit Jalil dan penyempurnaan perasmian dilakukan pada 31 Jun 2000.
Dalam sukan polo pula, Sultan Ahmad Shah sangat berkebolehan dan menunjukkan kehebatan dalam sukan itu di dalam dan luar negara.
Selain bola sepak dan polo, Tuanku juga menggemari hoki, badminton dan golf. Baginda turut menyertai Sukan Olimpik di Los Angeles, Seoul, Barcelona dan Atlanta.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor