Pages

Saturday, October 31, 2015

POLIS TEMUI JEJAK GURU BESAR DILAPOR HILANG


Jashiah Rabu


Kuala Kubu Bharu - Pencarian dengan turut melibatkan Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan Guru Besar Jashiah Rabu yang dilapor hilang sejak Jumaat lepas pernah menjejakkan kaki di dalam hutan Buluh Telur di sini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R. Supramaniam berkata anjing pengesan mengesan jejak guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Keramat I itu di sebuah pondok, kira-kira dua kilometer dari pusat gerakan operasi mencari dan menyelamat.

"Namun jejak kaki mangsa terhapus setakat kawasan terbabit," katanya ketika ditemui Bernama di lokasi pencarian di Kampung Orang Asli Hutan Buluh Telur semalam.

Beliau berkata operasi pencarian yang memasuki hari kelima semalam melibatkan kawasan berkeluasan tiga kilometer radius pada pagi tadi dan diperluaskan kepada enam kilometer radius petang ini. 

"Selain hutan tebal, kita mengalami kesukaran mengesan mangsa kerana terdapat maklumat yang bercanggah daripada orang kampung," katanya. 

Namun, Supramaniam percaya pergerakan Jashiah berkemungkinan semakin terbatas kerana keletihan dan ini boleh mempercepatkan proses mengesannya.

Beliau berkata seramai 71 anggota terdiri daripada PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Renjer Hutan, Pegawai Pendidikan Daerah dan penduduk kampung terlibat dalam operasi pencarian yang bermula 9 pagi semalam.

Menurut beliau, operasi turut dibantu Pasukan Gerakan Am Sungai Perak Bidor, Perak, serta lapan orang Tok Batin dari Kampung Buluh Telur.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Kamil Hamadan berkata pasukan operasi dibahagikan kepada empat kumpulan bagi meluaskan kawasan pencarian.

Ini menurutnya meliputi hutan Bukit Kutu, air terjun berhampiran Taman Milenium, pencarian dari rumah ke rumah penduduk kampung, kebun getah serta anak sungai.

Jashiah kali terakhir dilihat jirannya keluar dari rumah pada petang Jumaat lalu dan dikatakan berjalan kaki dan menumpang kereta sejauh kira-kira 10 kilometer ke sebuah perkampungan Orang Asli, sebelum dilihat menghala ke hutan simpan berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor