Sungai Petani – Seorang penggali kubur dan dua rakannya melalui pengalaman tidak ternilai apabila menemukan jenazah lelaki di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tuan Husain di Bukit Tukang Jusoh, Jalan Pantai Merdeka di sini yang dikebumikan sejak enam tahun lalu masih dalam keadaan baik.
Menurut penggali kubur tersebut, Azhar Zainul Abidin, 37, sebelum itu, dia bersama dua rakannya melakukan kerja-kerja penggalian untuk mengebumikan jenazah seorang wanita dari Kampung Telok Nipah, Jalan Pantai Merdeka yang meninggal dunia pada Isnin lalu.
“Setelah selesai menggali kami mendapati kawasan yang disangka kosong itu rupa-rupanya kubur seorang lelaki yang telah meninggal dunia pada Jun 2009.
“Apa yang mengejutkan, jenazah itu masih dalam keadaan sempurna dengan kain kafannya sedikit kotor dan lusuh,” katanya ketika ditemui di Kampung Projek Udang Teluk Nipah di sini hari ini.
Katanya, dia bersama dua rakannya itu kemudian mengebumikan semula jenazah itu dengan sempurna.
Jenazah tersebut merupakan seorang nelayan, Ismail Hashim yang meninggal dunia pada usia 57 tahun akibat kanser usus pada tahun 2009.
Isteri Allahyarham Ismail, Jamilah Shafie, 57, berkata, suaminya ketika hidup amat mementingkan solat lima waktu dan amalan sunat lain.
“Allahyarham juga sering mendalami ilmu agama dengan mengikuti kelas-kelas agama di merata tempat,” jelasnya.
Tambah Jamilah, dia amat terkejut apabila dimaklumkan bahawa jenazah suaminya masih dalam keadaan sempurna.
Sementara itu, Timbalan Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Sheikh Mohd. Nazif Zakaria berkata, penemuan jenazah yang masih dalam keadaan sempurna merupakan antara kekuasaan Allah SWT.
“Kita sebagai manusia yang masih hidup perlu mengambil iktibar daripada kejadian ini dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Penemuan jenazah dalam keadaan sempurna itu turut menjadi viral di laman sosial Facebook.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor