Pages

Tuesday, October 20, 2015

ORANG MAIN-MAIN TAK ADA TEMPAT DALAM PAS


Hadi Awang



PETIKAN ucapan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sempena Himpunan Fastaqim (H60K) di Kota Bharu, 17 Oktober lalu.

ALLAH menetapkan peraturan hidup manusia, bukan sahaja hubungan dengan ALLAH, termasuklah juga dengan politik, ekonomi dan kemasyarakatan.

Semua perkara ditunjuk oleh ALLAH, kalau kita mengubah kejadian ALLAH, menonggeng kepala ke bawah ketika berjalan, begitulah juga politik yang tidak mengikut petunjuk ALLAH, tidak istiqamah namanya.

Maka politiknya akan jadi tunggang langgang. Begitulah ekonomi yang tidak istiqamah, macam membawa tabung duit menunggang ke bawah, sudah tentu banyak duit yang akan tumpah dan akan hilang. Begitulah juga dengan akhlak dan perangai manusia tidak mengikut petunjuk ALLAH bermakna bukan manusia yang sebenar. Akan memusnahkan kehidupan mereka.

ALLAH menyuruh seluruh umat pada zaman dahulu supaya istiqamah, bukan sahaja ketika beribadah, bukan berjuang di atas muka bumi, untuk menegakkan syariat ALLAH yang adil menentang kezaliman.

Niat yang betul, ikhlas kerana ALLAH, jangan tujuan yang lain, akidah kepercayaan kepada ALLAH, percaya pada janji ALLAH, beriman benar dengan adanya syariat ALLAH, matlamat bahagia dunia dan akhirat yang tidak boleh diubah sekali-kali.

Strategi, pendekatan boleh diubah, akidah perjuangan, akhlak perjuangan, matlamat perjuangan, tidak boleh diubah. Yang tidak mengerti ialah mereka yang mahu menang cepat. Mencari jalan yang dekat, melintas jalan, menjadikan tidak istiqamah, menjadikan tidak betul dalam perjuangan, macam kera yang menyambar ke arah mana pokok yang banyak buah. Bila melihat buah kita tidak banyak, melompat ke pokok yang lain yang lebih banyak buahnya. Ini tidak istiqamah.

Begitulah mereka yang berundur yang berhenti berjuang, kerana putus asa kerana menganggap Islam tidak akan menang. Ini tidak istiqamah, ALLAH menyuruh Nabi Muhammad juga beristiqamah, “Maka beristiqamahlah kamu wahai Muhammad, engkau beristiqamah dan pengikut-pengikut mu yang bertaubat meninggalkan jahiliah kepada Islam mestilah beristiqamah.” Jangan melampaui batas, ikut akhlak Islam, perangai Islam, cara Islam dalam perjuangan.

Sesungguhnya ALLAH mengetahui dan melihat apa yang kamu kerjakan, “ALLAH melihat apa yang kamu buat”, maka Nabi kita Muhammad mengajar pengikut-pengikutnya istiqamah, setelah percaya Islam ini akan menang. Islam akan berjaya, ALLAH berjanji... ALLAH berjanji kepada orang-orang beriman, kerjakanlah amal yang soleh di kalangan kamu, yang berjuang untuk memenangkan Islam, ALLAH berjanji kepada mereka untuk memerintah negeri, ALLAH berjanji Islam akan menang, seperti ALLAH tunaikan janji kepada umatnya pada zaman dahulu.

Bila Islam sudah menang, ALLAH jadikan Islam sebagai memerintah dan berkuasa. Bila Islam berkuasa, berlaku keamanan, ketakutan...jenayah yang banyak dan penipuan yang banyak dan dilaksanakan hukum Islam itu, hudud, takzir dan akhlak Islam yang tegas. Berlakulah keamanan, ini makna kemenangan Islam, ALLAH menjanjikan kemenangan itu dan ALLAH menyebut, umat zaman dahulu dijanjikan. “Kami menghendaki, Kami akan jadikan orang ramai, rakyat yang lemah dan ditindas ini, Kami janjikan kepada mereka, kalangan mereka, dilahirkan pemimpin-pemimpin, Kami jadikan mereka golongan memerintah.” ALLAH jadikan pemimpin itu dilahirkan memperjuangkan golongan yang lemah.


Ikhlas hadir jayakan himpunan

Saya memerhati mereka yang ada pada hari ini, yang berhimpun ini adalah rakyat, rakyat yang ikhlas, mereka datang beramai-ramai ke sini untuk memenangkan Islam, tidak ada kalangan yang ramai ini niat nak jadi calon, niat nak jadi perdana menteri, niat nak jadi ahli Kabinet, tak ada dalam kalangan yang ramai ini. Niat mereka adalah untuk memenangkan Islam, maka dilahirkan di kalangan mereka yang lemah ini, ALLAH lahirkan pemimpin-pemimpin yang mewarisi perjuangan Islam.
Maka nabi kita Muhammad SAW memanggil pemimpin-pemimpin yang dipilih sebelum berhijrah ke Madinah.

Sekarang kita mengingati peristiwa hijrah, hijrah adalah peristiwa tertubuhnya negara Islam, sehingga kita umat Islam jadikan tahun kita bukan macam tahun kaum lain, tarikh lahir pemimpin, tarikh lahir nabi, tarikh kemenangan di medan perang, kita orang Islam hijrah tahun kita. Hijrah adalah kemenangan mendirikan sebuah negara masyarakat madani, yang mengandungi masyarakat majmuk, nak mendirikan negara ini setelah berjuang 13 tahun di Makkah. Maka Nabi Muhammad memanggil pemimpin-pemimpin Ansar yang bersedia untuk menerima Islam, menyerahkan tanah air mereka. Nabi ajak mereka berbaiah, ini makna baiah. Nabi ajak mereka berbaiah. Apa makna bai'ah. Bai'ah ini maksudnya jual. Jual pada siapa, jual pada ALLAH.

ALLAH menawarkan kepada hamba-hambanya yang beriman yang berjuang untuk menegakkan Islam, ALLAH Taala nak beli daripada orang-orang yang beriman diri mereka, harta mereka, ALLAH nak bayar syurga pada hari kiamat, siapa di kalangan kamu yang mahu beri hutang kepada ALLAH. ALLAH tidak berhajat kepada hutang, ALLAH maha kaya, tapi ALLAH kata nak berhutang daripada orang-orang yang beriman. ALLAH nak bayar pada hari kiamat.

Maka dilakukan bai'ah, bai'ah adalah menjual diri dan harta dalam perjuangan untuk menegakkan Islam. Maka berlakulah baiah di antara pemimpin-pemimpin Aus dan Khadrat, baiah yang diucapkan oleh Nabi SAW “...Aku mahu kamu berjanji kepada aku,” kata Nabi Muhammad kepada pemimpin-pemimpin yang ditentukan, berjanji untuk mematuhi arahan ku di masa rajin dan malas, berjanji untuk menyumbangkan harta. Bukan aku nak bagi harta, aku nak mintak harta daripada kamu. Menyumbang dengan harta untuk perjuangan ini, di masa senang dan susah. Berjanji untuk menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran.

"Berjanji untuk bangun menyatakan yang benar tanpa peduli celaan orang yang mencela, dan berjanji untuk menolong mempertahankan Islam dan mempertahankan nabi, agama yang dibawa, sebagaimana mempertahankan harta dan keluarga,
ALLAH menjanjikan syurga kepada kamu."

Maka berlakulah bai'ah, inilah maknanya bai'ah. Selepas wafatnya Nabi, para sahabat yang menyambung perjuangan ini mengadakan bai'ah. Abu Bakar yang dilantik sebagai khalifah, Saidina Umar yang dilantik menjadi khalifah, Osman dan
Ali dilantik menjadi khalifah, berbaiah: “Taat kepada aku selagi aku taat kepada ALLAH dan Rasul. Kalau kau tidak taat kepada ALLAH dan Rasul, maka jangan taatlah kepada aku." Jangan taat kepada aku kerana nama aku Abu Bakar. Nama aku Omar...
nama aku si anu bin si anu.. taat kerana mentaati ALLAH dan Rasul. Kalau tidak ada ini, tidak ada ketaatan lagi. Ini maknanya bai'ah selepas wafat Nabi yang mengambil alih perjuangan ini adalah kumpulan Islam.

Pas ditubuhkan pada tahun 1951, oleh ulama-ulama kita, dan pemikir-pemikir Islam walaupun mereka berpendidikan Barat. Ulama-ulama seperti Uthman Yunus, Tuan Guru Hashim Rohaimi, Ahmad Puad, kalangan ilmuwan, Dr Abas Ilias, Prof Ahmad Ibrahim, Aminuddin Baki dan lain-lain lagi bersama dalam perjuangan Pas mengasaskan perjuangan Islam sehingga kita masuk pilihan raya tahun 1955 masa penjajah, selepas kita merdeka, pilihan raya lagi, maka ulama kita membuat keputusan, diadakan bai'ah.

Setiap orang yang bertanding wakil rakyat, berbai'ah setia kepada perjuangan Islam, ditambah pula dengan sumpah, ini adalah siasah syariah untuk meneruskan bai'ah itu. Sekiranya melanggar bai'ah ini, khianat kepada perjuangan Islam yang telah dibawa oleh Pas, maka dilaknat oleh ALLAH, dilaknat oleh rasul, dilaknat oleh semua yang malaikat, ini adalah bai'ah yang mesti difahami oleh ahli-ahli dan pengikut Pas.


Langgar bai'ah bukti main-main dengan Islam

Orang yang melanggar bai'ah menganggap perjuangan ini hanya remeh-temeh, perjuangan ini hanya main-main, maka tidak ada tempat dalam Pas. Mereka yang main-main dengan perjuangan Islam.

Percayalah, inilah istiqamah kita, untuk meneguhkan istiqamah diadakan baiah, janji kesetiaan kepada perjuangan.

Alhamdulillah menunjukkan semangat ahli kita yang berkobar, yang bertambah meningkat, makin diuji, makin kuat keimanan kita, firman ALLAH Taala: “Tatkala orang-orang yang beriman, pada zaman Nabi SAW, begitukah orang yang beriman ikut contoh Nabi, dan sahabat Nabi, tatkala mereka melihat kedatangan musuh yang ramai mengelilingi mereka, untuk menentang perjuangan mereka, mereka berkata, inilah yang dijanjikan oleh ALLAH dan Rasul, ALLAH dan Rasul menjanjikan perjuangan ini tidak percuma, akan diuji, akan ditentang oleh musuh yang ramai, tidaklah menambah kepada mereka melainkan keimanan yang lebih kuat dan Islam yang lebih bersungguh, di kalangan orang-orang yang beriman itu, ramai lelaki-lelaki bahkan muslimat, ramai orang-orang dalam perjuangan Islam ini, itu yang berjanji dengan ALLAH, benar berjanji dengan ALLAH, ada kerana mereka sudah mati, ada di kalangan mereka yang menunggu giliran untuk mati menyambung perjuangan ini."

Inilah makna perjuangan Islam yang mesti kita faham. Himpunan pada malam ini (Sabtu lalu) adalah untuk meneguhkan ikatan kita dengan perjuangan Islam. Keakraban kita di antara satu sama lain, kita pilih negeri Kelantan bersempena dengan ulang tahun 25 tahun kemenangan kita.

Ini kali kedua, dalam sejarah perjuangan Islam moden, tidak ada parti Islam yang boleh memerintah selama ini. Parti Masyumi di Indonesia, pimpinan Dr Mohd Nasir memerintah setahun lebih sedikit, digulingkan Sukarno di zaman itu. Kemenangan Parti Ikhwan (Muslimin) di Mesir, tidak sampai setahun, digulingkan.

Kemenangan banyak parti Islam di dunia dilingkupkan. Kita berjaya mempertahankan parti kita di Kelantan selama 25 tahun, di mana kehebatan kita? (Kita) istiqamah!.

Pemimpin-pemimpin Kelantan (kukuh) dengan Islam, walaupun dalam keadaan menyusahkan, dikepung ekonomi dan dikepung pentadbiran, kita tidak jual menjual perjuangan ini.

Kita tidak anggap perjuangan ini sebagai satu perjuangan yang murah.

Dengan keadaan yang susah, mereka yang tidak tahan dengan kesusahan ini biar terjun dengan labu-labunya.

Tinggal mereka yang tahan sahaja. Percayalah rakyat yang berhimpun pada malam ini, rakyat yang hadir pada malam ini yang datang dari seluruh pelosok negara, yang disaksikan oleh ahli-ahli kita, kepimpinan kita.

Kesungguhan inilah tanda istiqamah kita dengan perjuangan Islam.

Percayalah, perjuangan ini adalah cahaya ALLAH yang tidak boleh dimatikan sekali-kali. Tiada siapa yang boleh memadamkan cahaya ALLAH, walaupun kita dikepung dan dibuat macam-macam, insya-ALLAH kita akan bertahan, marilah kita bersama-sama terus beristiqamah, balik ke tempatmasing-masing, teruskan kerja dan yakin kepada dasar perjuangan dan matlamat perjuangan bersama dengan pemimpin-pemimpin yang setia dengan baiah perjuangan ini.

Yang terakhir ini, marilah sama-sama kita memanjatkan doa dan bermunajat kepada ALLAH memohon pertolongan dan kekuatan kepadaNya dalam menghadapi cabaran dari dalam dan luar yang sangat mencabar sehingga kita bertemu dengan
ALLAH dengan mendapat keredaan dan bahagia dihimpunkan kita semua dalam keredaan dan syurga ALLAH.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor