Pages

Tuesday, October 20, 2015

[KUANTAN] CADANG GUNA AGEN KAWALAN DEBU


Cadang guna agen kawalan debu


Kerajaan negeri akan mempertimbangkan cadangan penggunaan agen kawalan debu ‘Adherex 120’ dalam usaha menyelesaikan masalah debu akibat aktiviti perlombongan bauksit di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, penggunaan ‘Adherex 120’ dijangka akan lebih berkesan dan menjimatkan berbanding kaedah sedia ada iaitu penggunaan air bagi tujuan membersihkan debu bauksit.

Katanya, sekiranya perkara ini diluluskan, kos penggunaan produk baharu itu akan tetap ditanggung syarikat perlombongan mineral berkenaan.

“Kita akan mengadakan perbincangan mengenai perkara ini (penggunaan Adherex 120) pada mesyuarat Exco Rabu depan.

“Selepas itu, baru kita akan putuskan sama ada untuk terima cadangan ini atau sebaliknya,” katanya pada taklimat penggunaan ‘Adherex 120’ di Pejabat Tanah dan Galian negeri, semalam.

Produk bio-kimia itu dibangunkan Kam Technology Ltd, pendahulu bidang industri mikrobiologi dari Kanada degan berasaskan bahan mudah terurai apabila memasuki tanah, tasik dan laut.

Selain itu, formulanya mengandungi bahan yang tidak berbahaya atau menyebabkan kerengsaan di samping tidak memiliki kandungan toksik yang boleh mengancam hidupan akuatik.

Taklimat tersebut disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Kam Technology Ltd, Prof Mongi Ferchichi dan dihadiri barisan Exco Kerajaan Negeri, Adun pembangkang, wakil agensi kerajaan dan media.

Sebelum itu, Prof Mongi memberitahu sekiranya produk berkenaan dapat diguna pakai ia dapat menyelesaikan masalah berkaitan debu di lombong, jalan raya landasan kereta api dan tapak pembinaan.

Katanya, penggunaan ‘Adherex 120’ juga telah diuji bagi mengatasi masalah sama di kuari simen Oman Cement Company SOCG atau OCC.

“Adherex 120 berfungsi untuk mengubah partikel kecil kepada besar. Ia seterusnya membentuk rangkaian struktur bio-polimer yang panjang.

“Bila terbentuknya struktur bio-polimer, ia sekali gus menyebabkan debu itu tidak berterbangan ke kawasan persekitaran. Pada bulan pertama, ia perlu di sembur sekali seminggu.

“Bagaimanapun langkah itu, perlu diulang setiap 10 hari untuk tujuan penyelenggaraan pada bulan berikutnya dan kaedah ini lebih menjimatkan,” katanya.

Tambahnya, bauksit digunakan sebagai bahan utama dalam pembuatan aluminium secara meluas dalam industri pengeluaran keluli kerana ia tidak memiliki arsenik atau merkuri.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor