Pages

Saturday, October 3, 2015

KHUTBAH: PAS SOKONG PENDIRIAN MUFTI PAHANG


Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man


Shah Alam – Pas menyokong pendirian Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman mempertahankan teks khutbah Aidiladha baru-baru ini yang dipertikaikan oleh DAP berikutan antara kandungannya dikatakan memburukkan parti itu.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, DAP sepatutnya tidak masuk campur tangan dalam urusan Jabatan Mufti yang mempunyai hak mengeluarkan fatwa dan nasihat agama dalam pelbagai medium termasuk khutbah.

“Khutbah berupa nasihat agama bagi umat Islam yang terikat dengan syarat dan rukun merupakan peringatan baik bagi umat Islam. Nasihat agar umat Islam bersatu menentang kemungkaran agama dan syariat juga menjadi dasar dan matlamat perjuangan Pas,” katanya.

Sebelum ini, pemimpin DAP Pahang dan pusat menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kandungan khutbah berkenaan yang didakwa memburuk-burukkan parti itu.

Menurut teks khutbah Jabatan Mufti Pahang itu, umat Islam di negara ini berpecah kerana ideologi politik berbeza.

“Perpecahan ini ialah kerana orang Islam lebih mengutamakan parti politik seperti Umno Pas, PKR dan juga Gerakan Harapan Baru, lebih daripada Islam.

“Malahan terdapat segelintir umat Islam yang menyertai DAP, yang jelas bertentangan dengan Islam,” menurut teks khutbah itu.

Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dilaporkan berkata, parti itu akan menyaman Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) jika enggan memohon maaf dalam tempoh lima hari.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, Pas pernah bersama DAP dan sangat memahami sikap parti itu terhadap penghayatan dan amalan Islam.

“Penentangan DAP terhadap undang-undang Islam bukanlah perkara baharu. Bahkan tindakan kepimpinan DAP menyokong beberapa program yang ditentang oleh umat Islam seperti Oktober Fest, Unisex Saloon di Kelantan dan lain-lain adalah bukti umum bagaimana sikap DAP terhadap penghayatan amalan Islam bagi orang Islam,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor