Pages

Saturday, October 3, 2015

ANGGAP PETANDA BANJIR BESAR


Anggap petanda banjir besar


Gua Musang - Belum pun berakhir trauma akibat bencana bah kuning yang melanda negeri ini penghujung tahun lalu, penduduk di 10 kampung di pinggir Sungai Nenggiri, di sini, dikejutkan pula dengan kejadian banjir kilat pada skala agak besar.

Banjir kilat yang melanda bermula kira-kira jam 8 pagi kelmarin mengakibatkan penduduk mula berasa takut dan ada sesetengahnya beranggapan ia mungkin petanda banjir besar akan kembali melanda pada musim tengkujuh tidak lama lagi.

Kebanyakan penduduk menganggap aktiviti perladangan dan pembalakan yang mengakibatkan banyak bukit gondol merupakan antara punca berlaku banjir kilat kerana taburan air hujan tidak mampu ditampung berikutan kekurangan jumlah pokok.

Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Terah merupakan antara yang menerima kesan teruk akibat banjir kilat apabila dilanda berulang kali dan banyak kemudahan sekolah mengalami kerosakan.

Kenderaan terkandas

Banjir kilat turut menyebabkan banyak jalan kampung tidak boleh dilalui dan terbaru, Jalan Gua Musang-Jeli, di Kampung Pulau Setelu, ditutup kepada semua kenderaan berikutan kejadian jalan runtuh di jambatan sementara, awal pagi kelmarin.

Seorang penduduk kampung berkenaan, Wan Ibrahim Wan Mahmud, 80, memaklumkan, kejadian berkenaan berlaku pada kira-kira jam 1 pagi dan disedari oleh penduduk pada kira-kira jam 7 pagi.

"Kejadian itu berlaku secara tiba-tiba akibat arus deras air Sungai Nenggiri selepas hujan lebat selama beberapa jam. Separuh jambatan tenggelam disusuli jalan runtuh di kepala jambatan.

"Jambatan sementara ini dibina untuk ganti jambatan konkrit yang runtuh dalam kejadian banjir besar hujung tahun lepas dan dibuka kepada semua kenderaan kecuali kenderaan berat pada Jun lalu," katanya.

Menurutnya, dia juga turut bergegas ke kawasan jambatan sementara itu setelah mendapati banyak kenderaan terkandas dan dapat melihat sendiri keadaan jalan runtuh di situ.

Gesa bina jambatan kekal

Sementara itu, seorang pengguna jalan raya yang ditemui, Ramli Che Awang, 57, menganggap, jambatan sementara merentasi Sungai Nenggiri dibina terlalu rendah dan mudah ditenggelami apabila paras air sungai berkenaan meningkat.

Katanya, kedudukan jambatan itu terlalu hampir dengan permukaan sungai dan akan ditenggelami air apabila hujan lebat berterusan selama beberapa jam seperti kejadian awal pagi kelmarin.

"Apabila kita berada di atas jambatan itu kita akan dapat rasa ia bergegar kerana dirempuh arus deras air sungai, tambahan pula terdapat banyak sisa kayu dan batang balak tersekat di situ," katanya.

Dalam pada itu, Penyelia Dun Nenggiri, Syed Azhar Syed Alwi menggesa kerajaan mengambil tindakan segera untuk membaik pulih jalan runtuh berkenaan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Beliau berkata, keadaan tersebut akan menyulitkan pengguna jalan raya terutama kanak-kanak yang mahu ke sekolah kerana kenderaan tidak dapat melalui jalan tersebut.

"Kita juga berharap kerajaan bina segera jambatan konkrit bagi menggantikan jambatan yang runtuh ketika banjir besar tahun lalu kerana jambatan sementara ini tidak dapat bertahan lama," katanya.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah mengesahkan jambatan Kampung Pulau Setelu ditutup kepada semua jenis kenderaan mulai awal pagi semalam atas faktor keselamatan.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor