Pages

Monday, October 26, 2015

CHONG WEI RAIH GELARAN SIRI SUPER MUSIM INI


Lee Chong Wei


Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei meraih gelaran Siri Super pertamanya musim ini selepas muncul juara di Terbuka Perancis di Stade Pierre de Coubertin, Paris, malam tadi.

Chong Wei yang genap berusia 33 tahun empat hari lepas menang selepas menundukkan pemain nombor lima dunia, Chou Tien Chen dari Taiwan 21-13, 21-18 dalam pertarungan 47 minit.

Ini adalah gelaran pertama Siri Super buat Chong Wei dalam tempoh 16 bulan selepas kali terakhir memenanginya di Terbuka Jepun pada Jun 2014.

Kemenangan ini pasti suntikan terbaik buat bekas pemain nombor satu dunia itu selepas kemampuannya mula dipertikai dalam tiga penampilannya di Siri Super - Terbuka Jepun, Terbuka Korea dan Terbuka Denmark - termasuk gagal melepasi pusingan kelayakan di Terbuka Korea, bulan lepas.

Namun Chong Wei berdepan kebangkitan Chou, 25, di set kedua apabila membenarkan lawan itu merapatkan kedudukan 19-18 selepas mendahului selesa 17-7 di set kedua.

Sejak bebas daripada penggantungan akibat kesalahan doping Mei lepas, Chong Wei hanya sekadar meraih dua gelaran kejohanan bertaraf Grand Prix Emas iaitu Terbuka Amerika Syarikat dan Terbuka Kanada, kedua-duanya pada Jun, sebelum muncul naib juara dunia Ogos lepas.

Ini juga adalah gelaran ketiga Chong Wei di Terbuka Perancis selepas menjuarainya pada 2007 dan 2011.

Terdahulu, pasangan Korea Selatan, Ko Sung Hyun/Kim Ha Na muncul juara beregu campuran selepas menundukkan pasangan Indonesia, Praveen Jordan/Debby Susanto 21-10, 15-21, 21-19.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor