Pages

Friday, October 30, 2015

BERSIH SAMPAH HARAM


Bersih sampah haram


Sungai Buloh - Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengambil langkah proaktif membina halangan di dua laluan masuk tapak pembuangan sampah haram di Bukit Lagong di sini susulan penemuan longgokan botol kicap di kawasan berkenaan baru-baru ini.

Timbalan Yang Dipertua MPS, Juhari Ahmad berkata, kerja pembersihan telah dilakukan selama lima hari bermula 20 Oktober lalu dengan kos mencecah RM30,000 melibatkan sampah seberat 183 tan yang dihantar ke tapak pelupusan di Bukit Tagar dan Jeram.

Menurutnya, tindakan telah dikenakan ke atas pemilik stor dan kontraktor pembersihan dengan nilai kompaun sebanyak RM16,000.

“Perkara tersebut dalam proses membawanya ke mahkamah kerana melakukan pembuangan sampah di lokasi yang bukan digazet sebagai tapak pembuangan, selain penyalahgunaan tanah pertanian.

“Pelbagai kesalahan dikesan pemilik stor yang beroperasi kurang satu kilometer termasuklah ubah suai rumah dijadikan stor, penyalahgunaan bangunan dan beroperasi tanpa kebenaran. Proses pembersihan stor sedang dilakukan sejak sitaan dibuat.

“Isu tanah pula telah dipanjangkan kepada Pejabat Tanah Gombak untuk kenal pasti pemiliknya yang menyalahguna tanah pertanian dijadikan pembuangan sampah haram,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, selain pembinaan halangan, MPS juga akan membuat pemantauan berkala bagi mengelakkan insiden berulang.

“Saki baki pembersihan akan diteruskan pemilik tanah melalui notis baik pulih tanah telah dikeluarkan atau tindakan lebih tegas sekiranya gagal mematuhinya.

“Kos pembersihan ditanggung sepenuhnya oleh MPS dan akan tuntut kepada pemilik stor. Pembuangan botol kicap tamat tempoh itu dilakukan kurang sebulan dan mendapat aduan awam melalui bau busuk menyebabkan pemeriksaan dilakukan ke lokasi,” katanya.

Terdahulu aduan longgokan kicap tamat tempoh dibuang di lokasi tapak terbiar diterima 18 Oktober lalu dan MPS membuat pemeriksaan sehari kemudian dan menemui pihak yang bertanggungjawab di sebalik aktiviti tersebut.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor