Labohan Dagang - Kerajaan Selangor menyokong usaha pihak yang membuka sebuah pusat pelancongan baharu di Bukit Tadom, Labohan Dagang.
Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat Dun Dengkil, Borhan Aman Shah berkata, Tadom Hills Resort mula mendapat perhatian apabila lebih 30,000 pengguna laman sosial menghebahkan dalam Facebook sehingga kawasan itu mula dikunjungi orang awam walaupun masih dalam pembinaan.
Menurutnya, keadaan itu memaksa pihak pengurusan menerima pengunjung singgah melihat sendiri keindahan kawasan peranginan yang bercirikan alam semula jadi.
“Bagaimanapun, di peringkat Parlimen Sepang, kita harap pihak pengurusan membuat pelan induk bagi menjadikan kawasan itu diiktiraf supaya dapat dijadikan kawasan pelancongan terbaik di negeri ini.
“Saya sendiri sudah bincang dengan Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Selangor, Elizabeth Wong mengenai kewujudan pusat pelancongan baru di Kuala Langat ini sebagai sebuah kawasan yang berpotensi menerima pengunjung dengan kelebihan kemudahan bertemakan alam semula jadi,” katanya.
Borhan yang sempat melihat sendiri keindahan kawasan yang kesemuanya dibina melalui buluh itu merasakan usaha pihak pengurusan membuat kelainan harus dipuji.
Bagi Pengusaha Tadom Hills Resort, Suhaimi Tawil berkata, tidak dinafikan laman web Tadom Hills Resort sudah menjadi popular dan kebanyakan pengunjung sanggup datang tanpa membuat tempahan terlebih dahulu semata-mata ingin menikmati keindahan kawasan itu.
“Buat masa ini, saya akan buat permohonan susulan kepada pelbagai pihak untuk pelan tindakan seterusnya bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengunjung,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor