Sepasang warga emas yang bekerja mengutip tin, kertas dan besi buruk bersama seorang anak kurang upaya (OKU) terpaksa hidup pindah randah berikutan tidak mampu membayar sewa rumah.
Khalil Ahmad, 70, berkata, baru setahun menetap di sebuah rumah di Kampung Bukit Koman yang disewa pada harga RM250 sebulan, dia diberi amaran untuk keluar sekiranya tidak membayar sewa penghujung bulan ini.
Menurutnya, dengan pendapatan sekitar RM20 seminggu bukan sahaja dia tidak mampu melunaskan sewa rumah, malah tidak cukup menampung belanja harian selain perlu membayar bil air dan elektrik.
Tambahnya, sejak berhenti kerja sebagai seorang jaga di Kuala Lumpur, dia, isteri, Zaimah Mohamad, 65, dan keluarga pernah menetap di Gali, di sini.
“Di Gali itu adalah rumah orang tua isteri saya dan selepas orang tuanya meninggal, kami terpaksa keluar dan berpindah menyewa di Taman Desa Damai, Bentong.
“Kemudiannya saya terpaksa berpindah ke rumah anak di Felda Lurah Bilut sebelum mengambil keputusan untuk menyewa di sini,” katanya.
Menurutnya, rumah yang disewa itu asalnya didiami bersama seorang lagi anak mereka di lombong emas berhampiran.
“Namun disebabkan lombong emas itu telah tutup, maka anak saya itu terpaksa berhenti kerja dan keluar merantau mencari kerja lain,” katanya.
Khalil berkata, dia pernah membuat permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun dimaklumkan dia tidak layak menerima bantuan terbabit kerana mempunyai ramai anak.
“Saya ada lapan orang anak, selain anak bongsu yang OKU, kesemua anak saya telah berkahwin dan mempunyai kehidupan mereka sendiri,” katanya.
Khalil juga membuat permohonan bantuan daripada Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) sejak sebulan lalu namun sehingga kini masih tiada jawapan.
“Saya merupakan seorang bekas tentera yang berkhidmat pada 1967 sehingga 1977, apabila saya tak terima sebarang bantuan, saya rasa jasa saya sebagai tentera diabaikan,” katanya.
Lebih dikesalkan apabila anak OKU yang dijaganya, Norzaini Khalil, 28, turut tidak menerima sebarang bantuan sejak bantuan yang diterimanya sebelum ini dipotong.
“Sebelum ini dia tinggal di Felda Lurah Bilut bersama kakaknya dan belajar di Pusat Didikan Dalam Komuniti (PDK) Felda Lurah Bilut.
“Namun setelah bantuan dipotong setahun lalu, dia terpaksa berhenti belajar,” katanya.
Khalil juga berkata, dia pernah dicadangkan anaknya untuk mendapatkan bantuan zakat dan telah mengambil borang permohonan terbabit.
“Tetapi saya tidak tahu bagaimana hendak mengisi borang ini jadi saya terpaksa tangguh buat permohonan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor