Kerajaan negeri akan memperkenalkan penggunaan karung khas untuk mengangkut bauksit bagi mengurangkan masalah pencemaran yang diakibatkan oleh aktiviti perlombongan bahan tersebut, kata Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Beliau berkata, karung khas hasil inovasi sebuah syarikat itu akan dikuatkuasakan penggunaannya setelah pelbagai langkah untuk mengatasi masalah itu sebelum ini menemui jalan buntu.
"Kita akan memperkenalkan karung khas ini yang mampu memuatkan 2,000 kilogram bauksit. Bauksit akan dimasukkan di dalam karung itu sebelum dibawa keluar.
"Karung ini tahan lasak dan tidak mudah pecah walaupun dijatuhkan dari atas bumbung. Kita kena gunakan kaedah ini kerana penguatkuasaan yang dilakukan selama ini tidak memberi kesan," katanya kepada pemberita semasa menghadiri sambutan Hari Malaysia peringkat negeri di Dataran Raub, di sini semalam.
Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi Dan Multimedia, Wanita Dan Keluarga negeri merangkap pengerusi sambutan Datuk Shahaniza Shamsuddin.
Hadir sama barisan exco kerajaan negeri serta lebih 2,000 anggota masyarakat.
Adnan berkata beliau akan mengadakan pertemuan lagi dengan para kontraktor dan operator pengangkutan tidak lama lagi bagi membincangkan soal tersebut.
Beliau berkata kerajaan negeri prihatin dengan sumber mata pencarian mereka yang terlibat dalam aktiviti perlombongan mineral tersebut termasuk peneroka dan lebih 12,000 pemandu lori yang mengangkut bahan tersebut.
Sementara itu dalam ucapannya, beliau mengingatkan rakyat agar menghargai perpaduan dan keamanan yang dikecapi selama ini.
"Kita mesti hargai keamanan, bila ada keamanan barulah ada kemakmuran. Kita kena peliharanya walaupun kita mempunyai perbezaan pendapat dan fahaman," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor