Kuala Lumpur: Hidup lagi kah mangsa? Itu persoalan ditimbulkan susulan penyebaran dua video memaparkan sekumpulan ‘mat rempit’ terpelanting beramai-ramai dalam satu perlumbaan haram di sekitar Lebuhraya Shah Alam (KESAS) di sini, awal pagi semalam.
Rakaman video dipercayai dirakam penonton lumba haram itu menjadi viral di media sosial apabila ada yang mendakwa empat remaja itu maut dan putus badan.
Kejadian dilaporkan berlaku jam 5 pagi apabila sekumpulan ‘mat rempit’ yang berlumba gagal mengelak sebuah kenderaan model Proton Exora yang berada di lorong tengah lebuh raya berkenaan dan merempuhnya.
Sekurang-kurangnya empat penunggang motosikal terbabit dalam nahas itu yang mengakibatkan mereka terseret dan melanggar pembahagi lebuh raya sebelum terpelanting di atas jalan raya.
Kejadian itu turut menyebabkan ratusan ‘mat rempit’ yang menjadi penonton perlumbaan itu cabut lari dari lokasi berkenaan.
Difahamkan, tiada mangsa yang maut dalam kemalangan itu seperti yang disebarkan di media sosial, namun seorang mat rempit patah kaki manakala tiga lagi cedera di kaki, tangan dan muka.
Sementara itu Pegawai Turus Trafik Selangor Deputi Superintendan Azmi Mansur berkata, kemalangan berlaku di Lebuhraya Kesas berhampiran susur keluar ke Alam Impian, Shah Alam, kira-kira jam 5 pagi semalam.
Menurutnya, tiada kematian berlaku seperti tersebar di media sosial dan semua mangsa hanya cedera di anggota badan.
“Pemandu Exora terbabit membuat laporan di Balai Polis Trafik Klang Selatan petang semalam.
“Mereka yang mengendalikan perlumbaan itu sangat pantas membersihkan lokasi kejadian dan sebab itu pihak pengurusan KESAS gagal mengesan kemalangan itu,” katanya.
Katanya, polis kini menjalankan siasatan termasuk mengesan individu yang terbabit dengan perlumbaan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
‘Jemputan’ menyertai perlumbaan haram itu disebarkan secara meluas menerusi aplikasi WhatsApp dan WeChat sejak kelmarin yang turut menyediakan beberapa kategori perlumbaan untuk disertai mat rempit.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor