Kuala Lumpur – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menjangkakan cuaca hujan dan ribut petir yang sedang melanda negara akan berterusan hingga penghujung Oktober depan.
Menterinya, Datuk Madius Tangau berkata, kejadian hujan dan ribut petir terutama di negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung itu berupaya mengundang bahaya kepada orang ramai termasuk berlaku bencana banjir kilat dan kerosakan harta benda.
“Kejadian ribut petir yang berlaku seringkali disertai dengan hujan lebat dan angin kencang yang boleh menyebabkan banjir kilat dan bahaya serta kerosakan.
“Saya menasihati agar orang ramai lebih berhati-hati dengan keselamatan diri dan keluarga semasa musim ini,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Madius menerangkan, Malaysia sedang mengalami kejadian hujan dan ribut petir dengan lebih kerap pada sebelah petang terutama di negeri-negeri pantai barat Semenanjung.
Menurutnya, bagi negeri Sabah, kejadian ribut petir dijangka lebih kerap di Bahagian Pantai Barat, Kudat dan Pedalaman. Manakala untuk negeri Sarawak, ribut petir dijangka tertumpu di Bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong dan Sibu.
“Bagi negeri Sabah, kejadian ribut petir dijangka lebih kerap di Bahagian Pantai Barat, Kudat dan Pedalaman. Manakala untuk negeri Sarawak, ribut petir dijangka tertumpu di Bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong dan Sibu.
“Keadaan ini adalah kerana negara berada dalam musim peralihan monsun yang bermula 20 September 2015 sehingga ke penghujung Oktober 2015,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, dari 22 hingga 30 September 2015, hujan dijangka berkurangan dengan angin kuat dari arah barat daya berikutan kehadiran ribut tropika di perairan Filipina.
Sehubungan itu, jelasnya, negara dijangka kembali berisiko mengalami jerebu rentas sempadan dalam tempoh tersebut.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor