Pages

Thursday, September 17, 2015

LIMA TAHUN HIDU BAU BUSUK


Lima tahun hidu bau busuk


Kluang - Penduduk di Jalan Cekal 16, Taman Sri Lambak, dan sekitarnya masih dibelenggu masalah bau busuk yang dipercayai datang daripada saluran kumbahan pecah di persimpangan jalan berkenaan.

Saluran kumbahan bawah tanah itu dipercayai sudah lama pecah dan tidak dibaiki walaupun aduan telah dibuat kepada pihak pengurusan di kawasan taman itu bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Penduduk, Ahmad Daud, 45, berkata, bau busuk itu berpunca daripada aliran air yang berwarna hitam di dalam longkang di hadapan rumah.

Menurutnya, dipercayai saluran kumbahan yang pecah itu telah berlaku lebih daripada lima tahun lalu, selepas kerja baik pulih sistem perparitan dijalankan di persimpangan jalan berkenaan.

“Akibat daripada masalah itu, saya terpaksa tutup tingkap dan pasang penghawa dingin bagi kurangkan bau. Jika buka tingkap, bau busuk akan masuk rumah sehingga menyukarkan kami bernafas.

“Jika musim panas dan berangin bau busuk ini tidak begitu ketara santetapi bila hujan dan kemudian panas baunya akan naik dan pada masa itu saya memang tidak boleh tahan," katanya.

Tambahnya, masalah bau busuk ini turut melanda penduduk di Jalan Cekal 9 dan sistem longkang yang tidak sistematik menyebabkan air kumbahan itu tidak dapat mengalir dengan lancar.

Jelasnya, aduan kepada pihak bertanggungjawab telah dibuat dan hanya tinggal menanti tindakan yang diambil bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

“Jika masalah ini tidak diselesaikan segera, penduduk akan terus hidu bau busuk ini. Saya harap pihak yang berwajib dapat melihat permasalahan penduduk di sini.

"Keadaannya semakin hari semakin kritikal malah air takungannya semakin banyak,” katanya.

Bagaimanapun, Jurucakap Kejora ketika dihubungi berkata, aduan daripada penduduk telah diterima namun pihaknya masih menanti peruntukan bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Beliau berkata, masalah yang dihadapi oleh penduduk di jalan tersebut sudah dalam tindakan pihaknya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor