Selama – Polis menyelar tindakan segelintir pihak yang dilihat dengan sengaja menyebarkan berita palsu berhubung kejadian penculikan kanak-kanak yang didakwa berlaku di beberapa lokasi di sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Loo Lian Lay berkata, siasatan yang telah dijalankan mendapati kejadian seperti dalam kandungan mesej yang disebarkan itu adalah tidak benar dan berunsur palsu.
“Sehingga kini polis tidak pernah lagi menerima sebarang laporan berhubung kejadian terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan dan Penyampaian Sijil Penghargaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama, di sini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Selama, Asisten Superintendan Abd Ghani Zainun.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas berhubung kejadian penculikan yang didakwa berlaku di daerah Larut Matang dan Selama.
Antara yang dinyatakan termasuklah penculikan lima orang di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang, Taiping; seorang diculik di SK Taman Jana.
Lian Lay berkata, dalam hal itu, peranan dan keprihatinan masyarakat khususnya ibu bapa amat penting.
“Mereka harus mengawasi pergerakan anak-anak agar tidak berlakunya kejadian yang tidak diingini termasuk kes-kes penculikan seperti didakwa,” katanya.
Pada majlis berkenaan, seramai 40 anggota termasuk orang awam telah dianugerahkan sijil penghargaan.
Lian Lay berkata, ia sebagai tanda terima kasih dan penghargaan pihak polis kepada mereka yang banyak memberikan kerjasama dan sokongan kepada polis.
Beliau berharap agar masyarakat sedar tanggungjawab mereka dalam usaha menangani kegiatan jenayah bersama polis.
“Polis juga akan sentiasa berusaha keras mewujudkan jalinan kerjasama erat bersama masyarakat,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor