KUALA TERENGGANU - Gejala maksiat di Pantai Batu Buruk bukan perkara baru.
Lebih menyedihkan, kelakuan tidak senonoh di kerusi konkrit disediakan itu turut berlaku ketika golongan lelaki menuju ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.
Tinjauan Sinar Harian, semalam, mendapati, kelakuan pasangan terbabit bukan sahaja mencemarkan kawasan peranginan itu, tetapi turut menimbulkan rungutan pengunjung wanita yang datang bersama anak masing-masing.
Rahimah Omar, 36, berkata, pihak berkuasa sebelum ini boleh dianggap berjaya menangani masalah itu tetapi malangnya, hanya sementara. Ia kini berulang semula.
Lebih memalukan, katanya perbuatan itu berlaku ketika orang lain bersiap untuk menunaikan solat Jumaat.
"Kejadian dipercayai melibatkan remaja yang datang dari luar daerah ini. Kalau tanya pendapat saya, pasti saya kecewa dengan tindakan remaja terbabit kerana mereka tidak mempedulikan orang ramai.
“Walaupun hanya dua, tiga pasangan remaja yang kelihatan memadu asmara, ia tetap memalukan kerana ketika itu khutbah Jumaat sedang disampaikan,” katanya.
Sementara itu, beberapa pekerja pembersihan kawasan pantai mengakui, kegiatan tidak bermoral itu turut berlaku pada hari biasa dan cuti umum.
Justeru, mereka berharap pihak berkuasa terutama Pejabat Agama Islam Kuala Terengganu dapat memantau kejadian itu agar tidak berulang.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor