
Jemaah Masjid Al-Hidayah Kampung Perepat, di sini, kesal apabila satu-satunya tempat mereka berkumpul untuk menunaikan solat berjemaah dan melakukan aktiviti masyarakat lain menjadi sasaran pencuri.
Difahamkan, ia pada asalnya adalah sebuah surau dan telah dinaik taraf kepada masjid kira-kira empat tahun lalu. Namun, pada awal pagi kelmarin ketika jemaah hadir untuk menunaikan solat Subuh, mereka mendapati peti besi derma yang dipasang pada dinding masjid tersebut telah hilang.
Imam 1 masjid berkenaan, Mohd Nazlifah Mohd, 42, berkata, kejadian sedemikian bukanlah kali pertama berlaku kerana ketika masih berstatus surau juga pernah terjadi kehilangan peti derma tetapi setelah ditukar kepada peti besi yang lebih selamat tersebut, ia merupakan kejadian pertama.
Menurutnya, kes kecurian agak mudah berlaku di masjid tersebut kemungkinan disebabkan lokasinya yang agak jauh dengan rumah penduduk dan pada waktu malam kawasan itu jarang dilalui penduduk.
“Saya syak kejadian ini berlaku awal pagi semalam (kelmarin) kerana semasa menunaikan solat Isyak berjemaah pada malam sebelum kejadian peti besi itu masih lagi ada. Pada pagi semalam ia disedari sudah tiada ketika bilal ke masjid untuk azan Subuh.
“Kami pasang peti besi itu kerana beranggapan akan lebih selamat kerana ia dilekat pada dinding selain bersaiz besar, berat dan dikunci dengan tiga mangga yang tahan dipotong.
Namun tidak sangka peti besi sebegitu yang berat sekitar 70 kilogram pun pencuri boleh angkut,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau yang juga penduduk Kam-pung Perepat itu menganggarkan sehingga kini kira-kira lapan kes kecurian berlaku sejak ia berstatus surau lagi yang bukan sahaja kes kecurian peti derma tetapi juga kelengkapan lain.
Katanya, jemaah masjid juga kini sudah buntu memikirkan cara untuk mengatasi kes yang sama berulang lagi selain turut kesal kerana kebanyakan wang dan peralatan yang dicuri itu melibatkan sumbangan jemaah atau penduduk kampung.
“Bukan sahaja peti besi wang sumbangan, sebelum ini peralatan masjid juga pernah dicuri iaitu peralatan memasak seperti kawah yang biasanya diguna jemaah untuk memasak,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Rompin, Asisten Superintendan Zainul Mujahidin Mat Yudin yang dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor