
Rawang - Mayat tanpa identiti ditemui di dalam but sebuah kereta Proton Iswara di Taman Bukit Rawang Jaya, kira-kira jam 7 pagi semalam.
Jurucakap polis berkata, dipercayai mayat berkenaan ada kaitan dengan kehilangan seorang lelaki warga asing yang dilaporkan hilang minggu lepas.
Menurutnya, keadaan mayat rentung seratus peratus dan dua kakinya dipotong sehingga paras paha.
“Kami terima panggilan daripada bomba sekitar jam 7.30 pagi selepas mayat ditemui sejurus selesai operasi pemadaman.
“Polis tidak menolak mangsa dibunuh di lokasi lain dan dibakar di kawasan berkenaan. Kereta berkenaan milik warga tempatan yang telah menjualnya kepada pihak ketiga,” kata jurucakap polis itu kepada Sinar Harian, semalam.
Katanya, mayat telah dihantar ke Hospital Sungai Buluh untuk bedah siasat dan tiada sebarang senjata atau dokumen ditemui dalam kereta serta lokasi berhampiran.
Difahamkan kereta tersebut berada di lokasi Rawang berdasarkan kali terakhir saman dikeluarkan Jun lalu.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Rawang, Halim Abu Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 6.30 pagi melibatkan insiden kebakaran kereta.
“Anggota dari Balai Batu Arang seramai tujuh orang tiba ke lokasi dan melakukan operasi pemadaman kereta yang telah terbakar keseluruhan.
“Mayat hanya ditemui selepas api berjaya dipadamkan dalam keadaan terbaring dan kakinya telah dipotong serta berada berhampiran kepalanya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor