Pages

Saturday, August 15, 2015

[KUANTAN] MURID KANTOI DENGAN IBU


‎Murid kantoi dengan ibu hisap shisha stick‎


“Saya fikir mereka belajar setiap malam, rupanya kunci bilik untuk menghisap benda ni,” kata seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Suhaila, 40, selepas mendapati anak lelakinya yang berusia 12 tahun terjebak dengan shisha stick.

Suhaila tidak menyangka anaknya boleh menyimpan dan menghisap shisha stick yang menjadi viral di media sosial dan lebih mengejutkan anaknya mengaku terjebak sejak dua minggu lalu.

Lebih menyedihkan ibu beranak tiga itu, anaknya sudah pandai memberi pelbagai alasan untuk mengajak rakan baik yang juga jiran mereka ke rumah untuk menghisap shisha stick itu.

“Memang menyedihkan apabila setiap malam saya memasak pelbagai jenis makanan makan lewat malam selepas habis belajar tetapi tidak menyangka anak-anak ini tidak jujur.

“Peliknya, benda tu langsung tidak berbau walaupun selepas bilik dibuka. Mereka dengan selamba keluar dengan rasa tidak bersalah, seolah-olah selepas mengulang kaji pelajaran,” katanya.

Suhaila memberitahu, dia menyedari anaknya yang hanya mahu dikenali sebagai Muhd menghisap shisha, selepas anak perempuannya menemui stik itu yang dipercayai disorok dalam almari sementara Muhd keluar ke kelas tambahan.

Suhaila yang tinggal di sebuah taman perumahan di Beserah menerima WhatsApp anaknya perempuannya kira-kira jam 8 malam ketika dalam perjalanan mengambil Mohd di tempat tuisyen.

“Saya tergamam melihat gambar yang sama dengan shisha yang disorokkan Mohd,” katanya.

Jelasnya, selepas menyoal anaknya, dia mendapat tahu bekalan shisha stick itu dibeli dari rakan baiknya yang juga jiran mereka dengan harga RM17.

Ketika menceritakan kejadian itu, Suhaila sebak dan geram kerana anaknya sanggup tidak membeli makanan dan kelaparan setiap kali pulang dari sekolah semata-mata untuk menyimpan wang bagi mendapatkan bekalan shisha itu.

Menurutnya, anaknya juga memberitahu, rakannya akan menghantar bekalan yang dipesan ke rumah pelanggan tanpa disedari oran tua mereka dan shisha berkenaan diambil dari penjual di sebuah gedung membeli-belah terkenal di bandar Kuantan.

“Tidak mungkin dia lakukan secara percuma. Kanak-kanak ini akan mendapat keuntungan hasil dari jualan shisha stik itu.

“Saya rasa benda ni bukan saja boleh ada dalam bekas pensil dan beg sekolah pelajar, tapi mereka boleh simpan dalam poket dan mungkin dah ramai yang terjebak,” katanya.

Sebagai seorang ibu, Suhaila menjadikan perkara yang dilakukan anaknya sebagai pengajaran dan menasihatkan ibu bapa lain peka dengan perubahan kelakuan anak mereka.

Bagaimanapun, selepas kejadian itu, Suhaila menghubungi jirannya dan menceritakan perkara yang berlaku dan dia bersyukur kerana ibu bapa pelajar terbabit mengambil tindakan wajar terhadap anaknya.

“Ambillah masa melakukan pemeriksaan mengejut di dalam bilik anak-anak kerana mereka kini lebih banyak terdedah dengan banyak perkara baharu yang kita sendiri pun tidak tahu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor