Pages

Friday, August 7, 2015

CUBAAN SELUDUP BURUNG MURAI, KURA-KURA GAGAL


Cubaan seludup burung murai, kura-kura gagal


Johor Bahru - Pasukan Polis Marin (PPM) Pengerang menahan seorang lelaki tempatan dan seorang warga Indonesia kerana dipercayai cuba menyeludup 77 burung murai dan 255 ekor kura-kura yang dirampas dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 2 Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, ketika kejadian dua bot ronda PPM yang sedang menjalankan rondaan di kawasan perairan Teluk Ramunia, Sungai Rengit, Kota Tinggi mengesan sebuah bot mencurigakan.

"Kira-kira jam 6 petang, bot ronda kita mengesan sebuah bot mencurigakan dari daratan menghala ke tengah laut dan terus mengejar bot berkenaan.

"Bagaimanapun bot berkenaan berpatah balik ke arah pantai Teluk Ramunia dan tekong terus melarikan diri ke dalam hutan berhampiran setelah menyedari kehadiran bot ronda PPM," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, serentak dengan itu pasukan PPM yang beroperasi di daratan telah menyerbu ke kawasan hutan berkenaan sebaik sahaja menerima maklumat dari anggota bot ronda dan berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun dan warga Indonesia berusia 56 tahun.

Paul berkata, pemeriksaan ke atas bot berkenaan menemui tiga bakul plastik berisi 77 ekor burung murai dan 15 bakul plastik dipenuhi 255 ekor kura-kura.

"Kesemua binatang eksotik berkenaan dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Bandar Penawar untuk disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

"Kedua-dua suspek ditangkap atas kesalahan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, Akta Atipsom 2007 dan Akta Imigresen 1959 manakala nilai rampasan haiwan eksotik dan bot dianggarkan berjumlah RM 94,000," katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, Paul memberitahu, PPM Pengerang turut berjaya merampas 3,850 rokok tidak sah dan rokok cukai bernilai RM45, 014 yang disorokkan dalam sebuah rumah di Felda Sening, Bandar Penawar.

"Tuan punya rumah berusia kira-kira 30 tahun turut ditahan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor