Langkawi - Polis di Langkawi sedang menyiasat kemungkinan kewujudan jaringan pengedaran dadah sintetik yang dikenali 'Yaba' di kepulauan ini dan Thailand berikutan tertangkapnya dua orang warga negara itu dua hari lepas.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang hari ini berkata kedua-dua warga Thailand yang diberkas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di sini Ahad lepas merupakan pasangan suami isteri yang telah tinggal di sini selama kira-kira tiga tahun.
Bercakap kepada media di sini, beliau berkata, hasil tangkapan ke atas kedua-dua suspek itu, polis turut menemui lima paket plastik mengandungi 80 biji pil yang disyaki amphetamine yang dikenali di jalanan sebagai WY atau Yaba yang keseluruhannya dianggarkan seberat 82 gram.
Menurutnya polis turut menemui ketulan mampat tumbuhan kering yang disyaki ganja yang dibungkus dalam lapan paket plastik keseluruhannya seberat kira-kira 98 gram selain wang tunai berjumlah RM624 daripada suspek berkenaan.
Ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek, masing-masingnya berumur 40 dan 36 tahun, mendapati mereka positif mengambil dadah namun polis mengesyaki mereka juga turut terlibat mengedar dadah di sini.
"(Hasil siasatan setakat ini mendapati) ganja dan pil WY ini diperolehi dari Satun (Thailand) dan dijual di Langkawi," kata Che Ghazali, sambil menambah kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (1952) yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.
Menurutnya suspek-suspek berkenaan dipercayai cuba menjual pil-pil berkenaan sekurang-kurangnya pada harga RM20 sebiji sementara ganja itu pada harga RM50 seketul.
Katanya, polis di sini akan menggunakan jaringannya dengan polis antarabangsa (Interpol) dan Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik Thailand untuk menyiasat kes ini.
"Pihak narkotik kita akan mendapatkan maklumat risikan lagi dan memang misi saya di sini adalah untuk membanteras dadah habis-habisan," katanya yang baharu menyandang jawatan ketua polis di sini awal bulan ini.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor