Pages

Saturday, July 25, 2015

(KUANTAN) PENCURI LAMPIN KANTOI


Pencuri lampin kantoi


Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga, demikian perumpamaan nasib seorang pencuri apabila dia akhirnya diberkas selepas beberapa kali berjaya mencuri barangan milik pasar raya dalam sebuah pusat membeli belah di sini, kelmarin.

Susulan penahanan lelaki berusia 31 tahun itu, polis berjaya menyelesaikan tiga kes kecurian yang berlaku dalam pasar raya itu sejak Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, suspek yang dipercayai bekerja di sebuah syarikat kejuruteraan ditahan pengawal keselamatan pasar raya tersebut selepas cuba membawa keluar dua pek lampin bayi tanpa bayaran.

Menurutnya, kira-kira jam 11.45 pagi itu, suspek dikatakan membeli barang berharga murah untuk mendapatkan resit sebelum masuk semula untuk mengambil lampin yang bernilai RM81.40.

“Suspek dipercayai menggunakan resit yang berada di tangannya sebagai modal untuk membawa lampin tersebut keluar dengan menunjukkan kepada juruwang kononnya barangan itu sudah dibuat bayaran.

“Bagaimanapun taktik yang digunakan suspek tidak menjadi apabila dia ditahan lepas tindak tanduknya yang mencurigakan berjaya disedari pengawal bertugas,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Abdul Aziz berkata, suspek ditahan untuk pemeriksaan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, hasil soal siasat suspek didapati pernah tiga kali mencuri dalam pasar raya itu sejak Mei hingga Jun lalu.

“Pihak pasar raya juga berjaya mengenal pasti suspek berikutan kes-kes kecurian sebelum ini berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.

1 comment:

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor