
Kerajaan negeri akan membatalkan 34 lesen perlombongan bijih (MOL) yang terlibat dengan aktiviti bauksit bermula 31 Julai ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, selepas 31 Julai, hanya kontraktor yang sah sahaja yang dibenarkan untuk melakukan aktiviti bauksit ini sekali gus memudahkan pengawasan dan mengawal kegiatan bauksit terbabit dari berleluasa.
“Keputusan drastik ini diambil selepas pelbagai tindakan termasuk perjumpaan dan amaran oleh kerajaan negeri serta agensi berkaitan tidak memberi kesan.
"Kerajaan negeri hanya mengeluarkan empat lesen MOL, namun setelah disemak dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) mendapati ada lagi 30 MOL yang diperbaharui.
"Ada antara mereka yang mengambil bauksit yang dibuat secara haram," katanya yang hadir menyempurnakan majlis berbuka puasa dan penyerahan bantuan bagi Dun Pelangai bertempat di Masjid Pelangai, di sini, kelmarin.
Adnan berkata, beliau turut akan menghadap Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah untuk menyembah maklum berkaitan isu bauksit itu.
“Saya akan memaklumkan sekiranya perkara ini tidak dapat diselesaikan, kerajaan negeri akan mengarahkan kegiatan perlombongan bauksit dihentikan.
"Jika keadaan memerlukan bauksit ini diteruskan kerana menjana banyak kegiatan ekonomi, kerajaan negeri mengalu-alukan agensi persekutuan untuk mengambil alih pengurusan pengangkutan bauksit ini," katanya.
Katanya, sebelum ini kerajaan negeri telah melakukan tiga perjumpaan bersama operator yang mendapat konsesi, dan kali keempat, amaran keras telah diberikan.
“Saya perhatikan perkara ini terlampau lama dan telah mengarahkan pihak jabatan yang berkenaan untuk melalukan perjumpaan namun nampaknya tidak mendatangkan kesan," katanya.
Menurutnya, setelah inisiatif melalui perjumpaan terbabit dilakukan, beliau melahirkan rasa kesal kerana masih tiada perubahan yang dilakukan pihak terlibat.
“Kita juga telah bekerjasama dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) kerana PTG mempunyai kuasa untuk menyita, malah ratusan lori telah disita.
“Operasi ini dilakukan secara berterusan 24 jam sehari dan kita telah mencuba sedaya upaya bagi mengatasi masalah ini, namun ia hanya memberikan kesan sementara sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Adnan juga berkata, kerajaan negeri menjunjung kasih titah nasihat Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyatakan kedukacitaan baginda berkaitan perkara ini.
“Sebenarnya dua hari sebelum itu kerajaan negeri telah memanggil 34 operator ini dan memberikan amaran keras terhadap mereka.
Saya memaklumkan kepada mereka sekiranya rakyat mengadu dan menghantar memorandum berkaitan perkara ini dan sebagainya, jangan terkejut sekiranya kerajaan persekutuan mengharamkan pengeksportan bauksit ini sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan Indonesia,” katanya.
Katanya lagi, susulan itu daripada maklum balas yang diterima, pihak terlibat telah mengambil beberapa tindakan termasuk berusaha untuk membersihkan jalan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor