Putrajaya - Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengenakan hukuman denda RM10,000 atau lima bulan penjara terhadap seorang pegawai eksekutif kerana mencabul kehormatan seorang suri rumah dengan membuat rakaman video wanita berkenaan sedang mandi dua tahun lepas.
Panel tiga anggota dipengerusikan Hakim Datuk Aziah Ali membenarkan rayuan pihak pendakwaan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi untuk mengenakan bon ikat jamin RM5,000 oleh seorang penjamin selama dua tahun terhadap Izwar Efendi Taswar.
Hakim Aziah berkata, mahkamah berpendapat Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah (seksyen yang membenarkan mahkamah mengenakan ikat jamin terhadap seseorang pesalah kali pertama) adalah tidak terpakai dalam kes Izwar berdasarkan keadaan kes itu.
Katanya, dengan mengambil kira keadaan kesalahan yang dilakukan itu, mahkamah tidak menemui sebarang sebab kenapa Izwar melakukan perkara itu.
"Kami mengambil kira dia adalah pesalah kali pertama, dia telah menyesal dan telah memohon maaf kepada mangsa serta mengaku bersalah terhadap tuduhan yang dikenakan," kata Aziah, yang bersidang bersama Hakim Datuk Rohana Yusuf dan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi.
Izwar, 33, dikenakan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Majistret setelah mengaku bersalah membuat rakaman video wanita berusia 23 tahun itu sedang mandi di bilik air sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras pada 11.52 pagi 11 Jan, 2013, dengan menggunakan telefon pintar Samsung Galaxy SII.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi mengetepikan hukuman penjara terhadap Izwar dan mengenakan ikat jamin terhadapnya selama dua tahun.
Pada perbicaraan hari ini, timbalan pendakwa raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin memberitahu mahkamah bahawa kesalahan yang dilakukan Izwar adalah serius, walaupun ia tidak melibatkan paksaan dan kekerasan.
"Kesalahan yang dilakukan responden (Izwar) menyebabkan mangsa mengalami trauma. Mangsa memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia mengalami trauma berpanjangan dan terpaksa mendapatkan rawatan. Mangsa perlu mengikut suaminya ke tempat kerja kerana takut berada di rumah seorang diri," katanya.
Intan Nor Hilwani berkata mangsa juga terpaksa berpindah dari kondominium berkenaan.
Beliau meminta mahkamah mengekalkan hukuman penjara lima bulan yang dikenakan Mahkamah Majistret terhadap responden.
Sementara itu, peguam M. V. Kumar berkata anak guamnya (Izwar) telah menyesali perbuatannya itu dan tidak berniat untuk menyakiti mangsa.
Bagaimanapun, Aziah mencelah dengan berkata: "Dia menceroboh privasi wanita berkenaan dengan sengaja merakam keadaannya ketika berada di dalam bilik mandi dan ini berlaku sebanyak dua kali. Seseorang itu berhak menikmati waktu-waktu peribadinya, terutama di dalam bilik mandi. Saya tidak nampak sebab kenapa dia bertindak membuat rakaman mengenai seseorang yang sedang menggunakan bilik mandi.
Tidak ada sebab wajar untuknya berbuat begitu jika diambil kira dia (responden) adalah seorang yang berpelajaran dan berjawatan eksekutif.
Kumar kemudian memohon agar anak guamnya tidak dikenakan hukuman penjara dengan memberi alasan Izwar telah memohon maaf kepada mangsa secara terbuka di mahkamah.
Izwar membayar denda yang dikenakan terhadapnya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor