Pages

Monday, July 27, 2015

'TAK SAMPAI HATI KEJUT QASEH TIDUR'


'Tak sampai hati kejut Qaseh tidur'


Subang Jaya – “Rasa tak tentu arah, macam-macam saya fikir bila satu-satunya anak yang saya ada dilarikan bersama kereta malam semalam (kelmarin),” kata Rahmadi Sarikan, 25, bapa seorang bayi yang dilarikan suspek sebelum berjaya ditemui semula sejam selepas itu.

Rahmadi berkata, kejadian berlaku ketika dia mahu menjemput isterinya pulang dari tempat kerja di sebuah restoran makanan segera di Subang Parade selepas mengambil anaknya, Qaseh Ainur Ramadhia, 14 bulan, dari rumah pengasuh di Damansara.

Katanya, sebelum itu anaknya juga berkelakuan pelik dengan tidak henti-henti menangis seolah-olah tidak mahu mengikutnya pulang sehingga tertidur dalam kereta.

“Saya tak sampai hati nak ganggu dia tidur, tapi dalam masa nak kena panggil isteri yang ada kat dalam restoran. Saya nak beritahu dia saya dah sampai.

Biasa saya guna telefon bimbit saja tapi semalam kredit habis, jadi terpaksa panggil dia sendiri di restoran,” katanya.

Rahmadi berkata, dia tidak menyangka anaknya dilarikan penjenayah meskipun kereta ditinggalkan kurang 10 meter dari lokasi restoran isterinya bekerja.

“Masa nampak kereta dilarikan saya cuba minta tolong, minta pinjam motosikal seorang lelaki yang kebetulan ada di situ. Mulanya dia tak percaya tapi lepas tu kami sama-sama kejar kereta itu. Tapi tak sempat," katanya.

Tanpa berlengah, Rahmadi berkata, dia terus membuat laporan berhubung kehilangan anak dan kereta miliknya di Balai Polis Subang Jaya.

Tambahnya, dia bersyukur Qaseh berjaya ditemui semula dan berita itu diterima ketika dia masih berada di balai polis.

“Polis kata pekerja stesen minyak jumpa bayi dekat tandas di Glenmarie. Bila mereka hantar gambar, saya sahkan itu anak saya yang hilang,” katanya.

Isterinya, Siti Nadia Nasir, 26, pula berkata, dia terus menangis mengenangkan nasib anaknya selepas mendapat tahu mengenai berita sedih itu.

Menurutnya, pada mulanya dia tidak tahu apa yang berlaku dan keluar seperti biasa selepas nampak suaminya di pintu restoran.

Namun dia berasa hairan apabila tidak menemui kereta yang biasa diletakkan berdekatan restoran dan lebih pelik lagi suaminya juga tiada di situ.

“Rupa-rupanya masa saya cari (suami), dia tengah kejar kereta yang dilarikan guna motosikal. Masa tu tak tahu nak cakap macam mana perasaan saya,” katanya.

Siti Nadia berkata, anaknya ditemui selamat, namun seluruh anggota badan dipenuhi kesan gigitan nyamuk.

“Syukur sangat rasa. Terima kasih kepada keluarga yang buat solat hajat bantu cari anak saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor