Alor Setar - Seorang guru tidak sempat menghadiri majlis perjumpaan bekas pelajar Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (SMSAH) Jitra yang dijadualkan semalam, apabila sebahagian besar anggota badannya melecur dalam kejadian letupan gas, di rumahnya, malam tadi.
Kejadian itu turut menyebabkan anak kedua mangsa, Amani Syafikah Mohd Razif, 20, cedera ringan manakala bahagian dapur musnah dalam kebakaran. Bagaimana pun, majlis rumah terbuka yang dirancang semalam tetap diteruskan berikutan jemputan sudah dibuat lebih awal.
Mangsa, Asmina Aziz, 47, merupakan seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Mergong dan kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kerana mengalami melecur tahap dua.
Amani Syafikah ketika ditemui di rumahnya di Taman Sultan Badlishah berkata, kejadian berlaku sekitar 9.30 malam, ketika mereka sekeluarga pulang dari majlis rumah terbuka.
“Sebaik tiba di rumah, mama dan saya masuk dan terhidu bau gas bocor, mama terus ke dapur untuk tutup gas tetapi tak sempat. Tiba-tiba kami dengar bunyi kuat macam letupan dan kemudian bekalan elektrik terputus,” kata pelajar semester lima, Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Bangi dalam bidang kejuruteraan elektrikal yang pulang bercuti sejak 14 Julai lalu.
Menurutnya, ketika kejadian, dia berada dua meter di belakang ibunya, manakala adiknya, Adnin Maisara, 12 mengikutnya di belakang.
“Saya tak nampak apa mama buat ketika itu, bunyi gas bocor tadi tiba-tiba senyap dan dalam dua saat terus meletup. Dalam keadaan gelap itu, saya hanya nampak seakan cahaya putih, tetapi tiada percikan api,” katanya.
Tambahnya, dia bergegas lari keluar rumah manakala ibunya seakan tergamam dengan kejadian itu.
“Selepas mama dibawa ke hospital, baharu saya rasa bahagian tangan pedih-pedih dan lihat ada kesan melecur pada tangan dan kaki,” katanya.
Amani Syafikah berkata, kali terakhir mereka memasak di dapur itu ialah ketika berbuka puasa sebelum keluar sekitar 8.30 malam.
“Ini pengalaman ngeri buat saya, saya sendiri lihat tudung dipakai adik hancur manakala jubah mama tinggal sekerat paras lutut, akibat letupan gas itu,” katanya, yang sempat melawat ibunya pagi tadi.
Sofiah Daud, 62, yang juga ibu mangsa turut mendengar bunyi letupan kuat dan menyangkakan ia bunyi mercun.
“Masa kejadian, mak cik nak tidur di tingkat atas, cucu lelaki, Aiman Najmi, 19 dalam bilik bawah bersebelahan dapur. Mak Cik turun bila dengar anak menjerit panggil suruh turun, katanya, rumah kita terbakar,” katanya.
Menurutnya, dia segera mendapatkan anaknya itu yang masih tercegat di dapur dan memimpinnya keluar rumah.
“Syukur tiada kemalangan jiwa, walaupun Aiman Najmi ditimpa pintu kaca biliknya yang tertanggal akibat letupan kuat itu. Saya juga bersyukur kedua-dua cucu perempuan selamat dan hanya cedera ringan,” katanya, yang tabah menerima dugaan kedua ini, selepas kematian suaminya, Disember lalu.
Suami mangsa, Mohd Razif Mohd Ismail, 48, tidak mengalami sebarang kecederaan kerana berada di bahagian luar rumah ketika kejadian.
Sementara Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, setibanya jentera bomba di lokasi kejadian mendapati hampir 30 peratus bahagian dapur musnah, dan kebakaran berjaya dipadamkan dengan kerjasama bomba sukarela dan penduduk sekitar.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor