Pages

Monday, July 13, 2015

10 MANGSA TERLIBAT


10 mangsa terlibat kemalangan


Batu Pahat - Seorang pemandu kereta maut, dua lagi parah, manakala tujuh warga asing nyaris maut selepas terlibat kemalangan di Kilometer 15, Jalan Parit Sulong Yong Peng, malam kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian yang berlaku pada jam 10.15 malam itu, mangsa yang maut, Ng Ah Meng, 67, telah mendapat rawatan awal di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) akibat kecederaan parah di kepala.

Mangsa yang memandu kereta Proton Waja dari arah Yong Peng, bertembung kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Citra dari arah bertentangan.

Kemudian, MPV terbabit merempuh pula sebuah kereta jenis Proton Wira.

MPV yang dipandu Haris Endok, 50, membawa tujuh warga Vietnam, namun ketujuh-tujuh mereka disahkan hanya mengalami kecederaan ringan. 

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Aziman Harun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 10.43 malam.

Menurutnya, lapan anggota telah dikerah ke lokasi bersama sebuah jentera untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan MPV yang dipandunya.

Jelasnya, tiga mangsa parah dalam nahas tersebut, dan ketika anggota sampai ke lokasi seorang mangsa telah dibawa ke hospital oleh penduduk tempatan, manakala seorang lagi (Haris) tersepit di kenderaannya.

“Mangsa tersepit patah kaki dan tangan dikeluarkan menggunakan peralatan khas kemudian dibawa ke HSNI untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad mengesahkan kejadian berkenaan yang membabitkan tiga kenderaan yang mengakibatkan seorang maut ketika menerima rawatan.

Beliau berkata, daripada siasatan yang dilakukan, MPV Naza Citra yang membawa tujuh warga asing dari arah Parit Sulong hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

“Akibatnya, ia melanggar Proton Waja dari arah Yong Peng, kemudian terbabas dan merempuh sebuah lagi kenderaan iaitu Proton Wira.

“Ketiga-tiga pemandu kenderaan terbabit mendapatkan rawatan di HSNI sebelum pemandu Proton Waja disahkan meninggal dunia,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor