Pages

Saturday, June 6, 2015

PENANGAN AIR HERBA AJAIB


Penangan air herba ajaib


Bandaraya Melaka - Sekali pandang, orang mungkin akan menyangka ia sebuah kenduri kahwin.

Manakan tidak, sebaik saja tiba di lokasi Jalan Solok Kolam 2, Kampung Pengkalan Batu, di sini, wartawan teruja melihat deretan khemah meriah dengan kehadiran orang ramai.

Bezanya cuma ia tidak menghidangkan lauk-pauk menyelerakan, sebaliknya hanya deretan cerek serta termos air panas.

Sah, di sinilah tempat yang diperkatakan orang ramai selama ini.

Rata-rata yang memenuhi khemah itu berusia 40 tahun ke atas dan mereka sedang menikmati air rebusan daun herba atau digelar 'air herba ajaib'.

Saban hari, tidak kurang 200 hingga 300 pengunjung bersilih ganti datang ke situ bermula jam 6 petang sehingga 2 pagi semata-mata mahu minum air herba berkenaan.

Bukan segelas, malah ada antara mereka minum sehingga melebihi lima gelas.

Tidak cukup begitu saja, selepas berpeluh-peluh menikmati air herba panas, mereka tidak melepaskan peluang mengisi air tersebut ke dalam bekas untuk dibawanya pulang ke rumah.
Apakah istimewanya air herba ajaib ini?


Pengusaha enggan dedah rahsia sebalik ramuan 

Sinar Harian cuba menyingkap rahsia air herba ajaib itu dan akhirnya menemui jawapan.

Ia rupanya dikatakan membantu melegakan 10 hingga 15 jenis penyakit.

Tidak kurang ada yang meminumnya untuk mendapatkan awet muda serta memantapkan kejantanan lelaki.

Pengusahanya, Anuar Hashim, 59, berkata, rata-rata pengunjung yang datang minum air ajaib itu adalah dalam kalangan mereka yang mempunyai pelbagai penyakit, khususnya golongan lanjut usia.

Menurutnya, walaupun tidak seorang pun mengetahui ramuan terkandung dalam minuman itu, namun mereka mampu meneguknya sehingga bergelas-gelas hampir setiap malam demi memastikan penyakit dalam badan mereka, sembuh.

Anuar bagaimanapun enggan berkongsi rahsia sebenar jenis daun herba yang digunakan untuk menghasilkan minuman itu, sebaliknya memberitahu ia juga diamalkan ahli keluarga dan rakan-rakan terdekatnya sejak 15 tahun lalu.

“Dulu saya seorang tukang kebun sekolah dan pernah dihantar belajar landskap di beberapa tempat. Dari situ saya tahu akan kelebihan daun herba ini.

“Kajian demi kajian saya lakukan sendiri, akhirnya buahkan hasil seperti sekarang," katanya.

Menurutnya, daun berkenaan diambil di hutan Negeri Sembilan hampir setiap minggu.

"Saya tak boleh bagi tahu apakah tumbuhan sebenar herba ini. Tetapi ia sudah disampelkan bagi kajian Kementerian Kesihatan untuk diluluskan,” katanya ketika ditemui malam kelmarin.

Anuar berkata, dia pernah ditawarkan RM3 juta oleh seorang individu untuk mendapatkan ramuan air ajaib berkenaan, namun dia enggan membongkarnya.

Dari segi rasanya, katanya, ia seakan air mata kucing atau buah kundur.

Minuman itu boleh dinikmati semua peringkat lapisan umur mengikut kuantiti disyorkan.

Bagaimanapun, dia tidak meletakkan sebarang caj bagi mereka yang meminumnya, sebaliknya terpulang kepada pelanggan untuk bersedekah seikhlas hati.

"Dianggarkan hingga 60 helai daun herba ini akan direbus menggunakan 20 periuk besar seawal jam 4 petang untuk diminum 300 pengunjung, setiap malam.

"Tetapi, pengunjung dinasihatkan supaya berpantang minum minuman berkafein dan ikan pari bagi memastikan kemujaraban air ajaib itu berkesan," katanya.

Anuar berkata, perkongsian manfaat air ajaib itu akan diteruskan selagi termampu kerana mahu melihat setiap anggota masyarakat, khususnya di Melaka bebas daripada pelbagai penyakit.


Pesakit akui keajaibannya

Sementara itu, seorang pengunjung, Ramli Ali, 57, berkata, dia sebelum ini menghidapi kanser kelenjar tahap dua pada 2011 sehingga menyebabkan diri tidak bermaya dan hanya merangkak untuk bergerak.

“Selama sebulan saya minum air ini, dengan izin ALLAH, anggota badan saya sudah boleh digerakkan. Sekarang saya boleh memandu, badan sentiasa segar walaupun saya masih tidak tahu apakah ramuan sebenar air ajaib ini,” katanya sudah mengamalkan sejak tiga bulan lalu.

Bagi Mariam Mamat, 65, pula, dia menghidap penyakit parkinson sejak kira-kira 11 tahun lalu dan mengamalkan minum air berkenaan sejak sebulan lalu.

“Sebelum ini, anggota badan selalu menggigil kuat, badan saya bisa-bisa, lenguh dan susah hendak bercakap.

“Selepas mendapat tahu dari kawan, saya cuba sebagai rawatan alternatif dan hasilnya alhamdulillah, badan semakin sihat dan gigil semakin kurang,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor