Johor Bahru - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah agar kaum India di negeri ini tidak mudah terpengaruh dengan hasutan yang cuba menjejaskan keharmonian kaum.
Baginda bertitah, isu kaum dan agama merupakan isu sensitif yang seharusnya tidak boleh dibangkitkan oleh mana-mana pihak.
"Saya tidak benarkan mana-mana pihak yang cuba menggunakan isu agama dan perkauman untuk merosakkan keharmornian rakyat Johor," titah baginda pada majlis santapan diraja bersama masyarakat India sempena Kemahkotaan Sultan Johor, di sini malam tadi.
Turut berangkat Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Yang Mulia Che' Puan Khaleeda Bustamam. Sultan Johor bertitah, sebelum ini terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang bertindak mencetuskan kontroversi agama sehingga menyebabkan kekecohan.
Baginda bertitah, sekiranya ada pihak yang mahu melakukan perbuatan melanggar undang-undang negara, mereka dipersilakan untuk keluar berhijrah ke negara lain.
Menurut Sultan Ibrahim, kerajaan negeri Johor mahupun Kesultanan Johor juga tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum sebaliknya sentiasa berlaku adil terhadap keperluan semua rakyat.
"Sehubungan itu, saya menyeru rakyat negeri ini agar tidak terpengaruh dengan cubaan merosakkan imej rakyat negeri ini yang bernaung di bawah satu panji iaitu Bangsa Johor," titah baginda.
Pada majlis berkenaan, baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi sebanyak RM1 juta untuk tujuan kebajikan masyarakat India di Johor khusus bagi warga tua dan anak-anak yatim.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor