Kota Kinabalu - Empat warga asing termasuk dua wanita ditahan reman hari ini selepas tiga daripada mereka menyerah diri ekoran laporan menyatakan mereka berbogel di kawasan South Peak Gunung Kinabalu, pada 30 Mei lepas.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, seorang daripada wanita itu adalah warga British, ditahan di Lapangan Terbang Tawau lewat tengah hari semalam ketika hendak berlepas ke Kuala Lumpur.
"Wanita itu mengaku melakukan perbuatan itu dan polis membawanya ke Kota Kinabalu (untuk ditahan reman)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini.
[ ARTIKEL BERKAITAN: Cari nahas bogel di puncak Kinabalu ]
Jalaluddin berkata, tiga individu yang menyerah diri di Balai Polis daerah Karamunsing kira-kira pukul 6 petang semalam ialah dua beradik lelaki warga Kanada dan seorang wanita warga Belanda.
Tahanan reman mereka dipohon daripada Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pagi ini, katanya.
Dalam pada itu, Jalaluddin menasihatkan malim gunung supaya melaporkan segera sekiranya ada perbuatan yang tidak senonoh dilakukan dalam kalangan pendaki supaya tindakan dapat diambil.
Pada 30 Mei lalu, sekumpulan pelancong asing bertindak menanggalkan pakaian masing-masing apabila berjaya tiba di puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara itu.
Insiden itu membangkitkan kemarahan dalam kalangan masyarakat di Sabah, khususnya penduduk tempatan Kundasang kerana pelancong itu tidak menghormati adat resam tempatan apatah lagi berlaku pula gempa bumi Jumaat lepas yang turut menggegarkan Gunung Kinabalu dan mengorbankan sejumlah pelancong dan malim gunung.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor