Pages

Thursday, May 21, 2015

YB DAPAT SMS LELAKI MISTERI


YB dapat SMS lelaki misteri


Seremban - Hanya kerana enggan memasukkan wang sebanyak RM200 ke dalam akaun bank seorang individu tidak dikenali, Adun Bukit Kepayang, Cha Kee Chin menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) kurang menyenangkan.

Menurut Kee Chin, kejadian berlaku kira-kira 7.15 petang Ahad lalu, apabila beliau menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Ah Leong.

Kata Kee Chin, lelaki itu menghubunginya dan secara tiba-tiba meminta wang sebanyak RM200 dengan alasan telah banyak membantu pemimpin DAP itu semasa kempen pilihan raya umum lalu.

“Saya beritahu dia, kalau mahu duit boleh datang ke pejabat. Tetapi lelaki itu tidak mahu, dia tetap berkeras dan meminta saya masukkan wang ke dalam akaun banknya.

“Mengapa saya perlu masukkan duit ke dalam akaun orang yang saya tidak kenal?

“Saya boleh bagi duit RM200 kalau dia nak, tetapi bukan dengan cara seperti ini. Dia boleh datang ke pejabat saya bila-bila masa dan saya boleh beri wang secara tunai,” katanya.

Menurut Kee Chin, selepas mematikan panggilan telefon, lelaki terbabit menghantar SMS kepadanya dalam bahasa Mandarin yang bermaksud: “Kalau awak tidak mahu bagi duit, saya akan datang rumah bagi awak malu. Saya sudah banyak tolong awak, tidak kenang budi”.

“Saya tidak selesa dengan SMS yang diterima ini kerana ia melibatkan keselesaan dan keselamatan keluarga saya.

“Jika hanya melibatkan diri saya sahaja tidak kisah, tapi ini melibatkan keluarga dan saya tidak boleh terimanya.

“Sebab itulah, saya membuat laporan polis supaya pihak berkuasa mempunyai rekod terhadap perkara yang berlaku ini.

“Saya berharap tiada perkara buruk berlaku dan semuanya berjalan dengan lancar,” katanya.

Setiausaha DAP negeri itu berkata, kejadian itu merupakan kali ketiga berlaku dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, pada 12 Mei lalu, dia pernah menerima panggilan telefon daripada lelaki yang mempunyai suara sama, meminta supaya memasukkan duit juga sebanyak RM200 dan sebelum itu perkara sama juga pernah berlaku beberapa bulan sebelum ini.

Bagaimanapun, permintaan lelaki itu tidak dilayan, sebaliknya Kee Chin meminta supaya bertemu di pejabat tetapi lelaki itu enggan.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor