Pages

Thursday, May 21, 2015

KELAS TAK CUKUP TAMPUNG MURID


Kelas tak cukup tampung murid


Chukai - Sekolah Rendah Islam (SRI) Darul Taqwa di Bakau Tinggi, di sini, merancang untuk membina sebuah bangunan empat tingkat yang pembinaannya dianggarkan menelan kos hampir RM2 juta bagi menampung pertambahan murid.

Mudirnya, Ustaz Zahari Draman berkata, ketika ini perpustakaan sekolah terpaksa dijadikan kelas sementara berikutan bilik darjah sedia ada tidak mencukupi menampung murid yang sudah berjumlah seramai 360 orang.

“Disebabkan itu kita mahu bina sebuah bangunan tambahan empat tingkat di atas tanah lapang bersebelahan sekolah kami seluas hampir satu ekar (0.4 hektar).

“Setakat ini pelan reka bentuk bangunan telah siap dan sekarang kita beri tumpuan dan berikhtiar untuk kumpul dana bagi melaksanakan projek pembinaan. Jika dana dapat dikumpulkan sebagaimana yang kita rancang, Insya-Allah kita jangka bangunan tambahan ini boleh siap tahun hadapan,” katanya.

Zahari memberitahu, pihaknya juga ketika ini dalam perbincangan untuk mencari kontraktor yang bakal mengemudi projek pembinaan berkenaan.

“Usaha tambah bilik darjah itu juga seiring dengan sasaran pihak sekolah untuk menambah jumlah murid kepada seramai 500 orang pada masa akan datang berdasarkan permintaan daripada masyarakat setempat dan luar,” katanya.

SRI Darul Taqwa diwujudkan sejak 25 tahun lalu dan dalam tempoh itu sekolah tersebut telah tiga kali berpindah lokasi iaitu pada awalnya di Pasir Minal, kemudiannya di Injin Gergaji sebelum beralih ke Bakau Tinggi.

Muridnya pula bukan sahaja terdiri daripada sekitar Chukai, malah ada yang dari kawasan Kubang Ikan di Pahang.

Berdasarkan rekod pihak sekolah, murid lepasan UPSR mereka juga mudah untuk menyambung pelajaran ke sekolah agama.

Zahari berkata, selepas tamat sekolah menengah, bekas murid SRI Darul Taqwa juga ramai yang menyambung pengajian di Yaman, Syria, dan Madinah dalam bidang keagamaan selain ada juga menyambung pengajian dalam bidang teknikal iaitu kejuruteraan di Jepun.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor